Berita

Hasil kerajaan Persekutuan meningkat 13.5 peratus tahun lepas – Ketua Audit Negara

- Diterbit 5 November 2020 8:05 AM MYT

HASIL kerajaan Persekutuan pada 2019 berjumlah RM264.415 bilion, meningkat sejumlah RM31.532 bilion atau 13.5 peratus berbanding tahun 2018.

Menurut kenyataan Ketua Audit Negara mengenai Laporan Ketua Audit Negara berkenaan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2019 yang dikeluarkan hari ini, perbelanjaan mengurus yang diluluskan pada tahun lepas berjumlah RM260.547 bilion manakala perbelanjaan sebenar berjumlah RM263.343 bilion.

‘’Perbelanjaan kerana hutang negara (faedah, dividen, dan lain-lain kenaan bayaran) adalah berjumlah RM32.933 bilion atau 12.5 peratus daripada perbelanjaan mengurus.

“Perbelanjaan ini meningkat sejumlah RM2.386 bilion atau 7.8 peratus berbanding tahun 2018 yang berjumlah RM83.050 bilion kerana tidak dibajetkan di bawah peruntukan mengurus tetapi dibayar secara terus daripada Akaun Pinjaman Disatukan,’’ katanya.

Ketua Audit Negara berkata selain itu, perbelanjaan pembangunan kementerian dan jabatan persekutuan yang telah dibelanjakan pada 2019 ialah RM54.173 bilion atau 104.6 peratus berbanding peruntukan yang diluluskan pada tahun 2019.

Beliau berkata analisis audit mendapati kerajaan Persekutuan mengalami defisit berjumlah RM51.370 bilion dengan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 3.4 peratus.

“Defisit tersebut ditampung dengan pinjaman baharu berjumlah RM138.559 bilion dan daripada jumlah pinjaman tersebut, RM83.05 bilion atau 59.9 peratus telah digunakan untuk membayar balik hutang matang.

‘’Hutang persekutuan berjumlah RM792.998 bilion, meningkat tujuh peratus berbanding RM741.094 bilion pada 2018, nisbah hutang kepada KDNK ialah RM52.5 peratus,” katanya.

Katanya, sebanyak 96.4 peratus hutang persekutuan adalah hutang dalam negeri dan hanya 3.6 peratus hutang luar negeri, keseluruhan hutang dan liabiliti Persekutuan pada 2019 adalah RM1.080 trilion.

Sementara itu, pengauditan terhadap penyata kewangan kerajaan negeri bagi tahun berakhir Dis 2019 mendapati kesemua 13 penyata kewangan kerajaan negeri telah diberi Pendapat Tanpa Teguran.

Analisis audit menunjukkan kesemua penyata kewangan tersebut menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kerajaan negeri dan rekod perakaunan telah diselenggarakan dengan lengkap dan kemas kini.

‘’Jabatan Audit Negara telah melaksanakan 28 pengauditan pematuhan di peringkat kerajaan negeri yang melibatkan satu kementerian di Sarawak, 23 jabatan dan 14 agensi negeri pada 2019/2020.

Antara penemuan utama audit pematuhan adalah berlakunya pembayaran tidak teratur, hasil tidak dikutip dengan teratur dan kelemahan dalam pemerolehan kerajaan,’’ katanya.

Laporan mengenai penyata kewangan kerajaan Persekutuan 2019, akan dimuat naik dalam laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Rakyat.

Orang ramai boleh melihat penyata ini dengan melayari http://www.audit.gov.my bermula hari ini selepas 10 pagi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas