Berita

Dewan Rakyat bersidang 10 pagi hingga 2 petang bermula Isnin – Speaker

- Diterbit 5 November 2020 3:41 AM MYT

DEWAN Rakyat mengambil ketetapan untuk melakukan beberapa penyelarasan bagi urusan persidangan Dewan Rakyat sepanjang Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bagi memastikan kelancaran persidangan susulan penularan wabak COVID-19 ketika ini.

Antara perubahan yang diputuskan ialah tempoh harian persidangan adalah dari 10 pagi hingga 2 petang dan bilangan Ahli Parlimen yang boleh berada di dalam dewan dihadkan kepada 80 orang untuk satu-satu masa.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat Berikutan Penularan Wabak COVID-19 yang diadakan semalam, yang turut dihadiri 10 ketua Whip parti.

Azhar berkata mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), ahli-ahli mesyuarat itu bersetuju dengan keputusan seperti perubahan waktu persidangan dan urusan mesyuarat mulai Isnin hingga 15 Dis ini.

“Dewan Rakyat akan bersidang bermula 10 pagi hingga 2 petang. Selain itu, sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada Isnin dan Rabu ialah selama satu jam dari 10 pagi hingga 11 pagi.

“Pada hari Selasa dan Khamis, sesi pertanyaan bagi jawab lisan ialah selama 55 minit dari 10.05 pagi hingga 11 pagi. Hanya satu soalan tambahan dibenarkan dan soalan tambahan itu mestilah seringkas yang boleh,” katanya dalam pemasyhuran oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat pada persidangan hari ini.

Teks pemasyhuran itu dibacakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon sebaik persidangan bermula hari ini.

Beliau berkata Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) pula akan dilaksanakan setiap Selasa dan Khamis selama lima minit dari 10 pagi iaitu Ahli-ahli Parlimen akan membacakan soalan dan menteri berkenaan akan menjawab secara bertulis pada hari sama.

“Soalan dan jawapan itu akan disiarkan dalam portal Parlimen Malaysia secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat turut mengambil ketetapan untuk perbahasan di peringkat Dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2021 selama lapan hari iaitu pada 9 hingga 12 Nov dan 16 hingga 19 Nov, manakala jawapan menteri di peringkat dasar kekal tiga hari iaitu 23 hingga 25 Nov.

“Perbahasan di peringkat jawatankuasa selama 11 hari iaitu 26 Nov, 30 Nov, 1 Dis, 2 Dis, 3 Dis, 7 Dis, 8 Dis, 9 Dis, 10 Dis, 14 Dis dan 15 Dis.

“Jumlah hari persidangan Mesyuarat Ketiga ini boleh ditambah sebanyak dua hari iaitu pada 16 dan 17 Dis sekiranya diperlukan,” katanya.
Azhar berkata jika Dewan Rakyat bersidang sehingga 5.30 petang dengan susunan Aturan Urusan Mesyuarat seperti sedia ada, maka selama 89 jam dan 30 minit diperuntukkan kepada Ahli-ahli Parlimen untuk berbahas (termasuk oleh menteri) dalam mempertimbangkan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa.

Beliau berkata dengan peraturan baharu itu, maka tempoh perbahasan dalam mempertimbangkan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa adalah selama 66 jam.

“Walaupun terdapat pengurangan dari segi tempoh perbahasan dan jawapan itu namun Ahli-ahli Yang Berhormat masih mempunyai tempoh mencukupi untuk mempertimbangkan Belanjawan 2021,” katanya.

Berhubung kehadiran Ahli-ahli Parlimen sepanjang tempoh Mesyuarat Ketiga ini, ianya dihadkan kepada 80 orang sahaja pada satu-satu masa di dalam Dewan Rakyat (termasuk ahli yang akan berbahas) dengan pecahan pembahagian 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan Bebas.

Azhar menjelaskan bahawa penentuan Ahli Parlimen yang boleh berada di dalam dewan akan ditetapkan oleh parti masing-masing.

“Setiausaha Dewan Rakyat pula akan memberikan kad khas kepada Yang Berhormat Kota Bharu untuk selaraskan kehadiran di pihak anggota pentadbiran dan ahli-ahli Backbenchers…manakala di pihak pembangkang kad khas itu akan diberikan kepada Yang Berhormat Sungai Petani untuk kehadiran ahli pembangkang dan Bebas,” katanya.

Sehubungan itu, Azhar meminta Ahli-ahli Parlimen mengambil perhatian berhubung rekod kehadiran iaitu 80 Ahli Parlimen yang diberikan kad khas boleh merekodkan kehadiran di komputer riba masing-masing seperti kebiasaan.

Ahli Parlimen yang tidak diberikan kad khas pula boleh merekodkan kehadiran di Pintu 3 Blok Utama dan pintu masuk Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran dengan bantuan Bentara yang ditugaskan di kedua-dua pintu itu untuk mencatat kehadiran mereka.

Bagi proses pengundian belah bahagian, Azhar berkata loceng akan dibunyikan selama dua minit diikuti penempohan selama 10 minit dan kemudian loceng akan dibunyikan selama dua minit lagi seperti yang dilakukan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-14.

“Untuk proses ini kesemua Ahli-ahli Yang Berhormat dibenar untuk berada di dalam dewan,” katanya.

Pada akhir pemasyhurannya, Azhar menjelaskan kesemua langkah-langkah yang diambil itu adalah untuk tempoh sementara demi mengimbangkan tanggungjawab Ahli-ahli Parlimen di dalam dewan dengan kepentingan menjaga kesihatan berikutan penularan wabak COVID-19. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas