Berita

Taman Persahabatan Malaysia-China simbol hubungan baik dua negara

SUASANA yang mendamaikan di Taman Persahabatan Malaysia-China menggamit hati para pengunjung dalam dan luar negara.
- Diterbit 20 Januari 2023 2:44 AM MYT

ANJUNG Floria di Presint 4, Putrajaya yang dahulunya merupakan tapak penganjuran Festival Bunga dan Taman Antarabangsa (FLORIA) Diraja Putrajaya kini semakin mendapat tempat di hati pengunjung.

Komponen yang menarik untuk dilawati adalah tiga buah taman indah iaitu Taman Persahabatan Malaysia-China, Taman Inggeris (English Garden) dan Taman Fantasi (Fantasy Garden). Taman Persahabatan Malaysia-China adalah satu-satunya taman yang unik di mana pengunjung akan merasai seolah-olah berada di negara China saat menjejakkan kaki ke lokasi tersebut.

Bagi anda yang tidak berpeluang ke negara Cina, apa kata luangkan masa seketika berkunjung ke Taman Persahabatan Malaysia-China yang terletak di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya.

Bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong tempatan, lokasi ini juga dikatakan mendapat tumpuan pelancong luar yang ingin merasai pengalaman seolah-olah berada di zaman dinasti China.

Direka bercirikan elemen ‘Lingnan-styled garden’ di atas tanah berkeluasan 0.24 hektar di tapak kekal FLORIA, taman persahabatan ini adalah mercu tanda hubungan diplomatik yang semakin kukuh antara Malaysia dan China.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Rekreasi dan Operasi Perbadanan Putrajaya (PPj), Azhar Abdullah, projek pertama yang dilaksanakan dalam bentuk taman persahabatan ini dibangunkan dengan kerjasama Persatuan Persahabatan Malaysia China (PPMC) yang juga merupakan pencetus idea pembinaan taman tersebut.

AZHAR ABDULLAH

Terdahulu, kerajaan negara China melalui agensi yang dilantik iaitu Dongguan People’s Association For Friendship With Foreign Countries menyatakan persetujuan dengan pembangunan Taman Persahabatan Malaysia-China selain menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi menampung kos pembinaan.

“Taman ini bukan hanya menyokong hubungan baik dan meraikan ulang tahun ke-40 jalinan perhubungan dua hala antara Malaysia dan China tetapi juga dibangunkan sebagai lokasi tarikan pelancong yang dapat menambah karakter antarabangsa di Putrajaya,” ujarnya kepada Wilayahku.

Beliau berkata ia juga dilihat sebagai satu pendekatan pembangunan strategik yang perlu diberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya kerana karakter Chinese Garden yang dipamerkan mempunyai keunikannya tersendiri untuk menambah kepelbagaian bagi pengisian.

“Seni bina dan kaligrafi tradisional Cina yang diterapkan di setiap sudut taman tersebut merupakan salah satu daya tarikan yang menarik pengunjung untuk datang ke sini. Pembinaan taman unik dengan ciri Lingnan ini menawarkan pelbagai keindahan, selain binaannya yang menarik dengan dilengkapi kolam di tengah-tengah taman yang menawarkan pelbagai aura positif buat orang ramai.

“Selain itu, terdapat dua pokok jenis Michelia Alba atau cempaka putih yang mencuri perhatian pengunjung yang meneroka di setiap sudut taman ini kerana pokok tersebut. Ia ditanam pada Majlis Pecah Tanah sembilan tahun lalu sebagai simbolik hubungan diplomatik kedua-dua negara.

“Lebih menarik, kawasan ini berlatarbelakangkan panorama tasik Putrajaya dan beberapa binaan ikonik seperti Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Jambatan Seri Saujana yang sudah tentu menjadi lokasi tumpuan pengunjung untuk beriadah dan bersantai,” ujarnya lokasi taman persahabatan yang strategik ini membolehkan pengunjung berkelah atau melakukan pelbagai aktiviti menarik.

Di samping itu, Azhar memaklumkan buat masa ini, ia dibuka kepada orang awam tanpa dikenakan sebarang caj bayaran selain pengunjung berpeluang menghayati sendiri negara China yang sememangnya kaya dengan kehalusan seni binanya.

“Taman ini juga dibuka kepada pasangan pengantin dan jurugambar yang ingin merakamkan potret perkahwinan. Landskap menarik persis berada di negara China ini merupakan satu bonus buat para raja sehari.

“Bagaimanapun, untuk mereka yang ingin membuat penggambaran, bayaran tertentu akan dikenakan selain perlu berhubung dengan pihak Putrajaya Floria Sdn Bhd,” ujar beliau.

GABUNG ENAM ELEMEN UTAMA

PENERAPAN enam elemen utama iaitu air, gunung, batu, bangunan, kaligrafi dan tumbuhan di Taman Persahabatan Malaysia-China ini dilihat memberi kombinasi yang cukup mendamaikan.

“Antaranya adalah elemen air yang dapat kita lihat melalui kolam di tengah antara pavilion dan pintu masuk serta kolam lain yang terdapat di sekitar kawasan tersebut bagai memberikan kedamaian dan ketenangan yang berterusan selain suasana pergunungan yang menyegarkan pandangan dapat dirasai oleh setiap pengunjung ketika melawat keseluruhan taman.

“Seterusnya, elemen batu dan bangunan pula diperlihatkan dari tembok yang mengelilingi kawasan taman dan pavilion serta koridor berbumbung yang terdapat di sini,” jelasnya motif tradisional Cina yang diterapkan pada pembinaan bangunan ini menunjukkan kekayaan dan keaslian seni bina negara itu.

Selain itu, seni kaligrafi di sekitar kawasan taman persahabatan tersebut juga sangat mengujakan. Ia bagaikan menghidupkan setiap sudut dengan sentuhan halus kaligrafi Cina.

“Bukan itu sahaja, tumbuhan-tumbuhan juga merupakan elemen yang sangat berperanan dalam memberikan kedamaian di taman ini. Pokok maple, bonsai, buluh dan beberapa jenis pokok serta bunga yang ditanam di sini bagai terapi diri buat para pengunjung.

“Gabungan pelbagai elemen utama dengan batuan berwarna, koridor penggulungan, pokok yang subur, bunga yang berkembang, halaman indah dan pavilion di taman ini sebagai bukti persahabatan yang berpanjangan antara Malaysia dan China,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas