Berita

11 tahun bersama sukan hoki

AKSI Muhamad Izham (kiri) ketika Kejohanan Piala Asia Hoki 2022 di Thailand.
- Diterbit 20 Januari 2023 3:19 AM MYT

MEMASANG impian untuk beraksi di pentas Piala Dunia dan Olimpik suatu hari nanti, atlet hoki negara, Muhamad Izham Azhar, komited berusaha ke arah tersebut untuk mencipta kemenangan sekali gus mengharumkan nama negara.

Menurut atlet berusia 24 tahun ini, meskipun terdapat banyak cabaran dan persaingan, namun tidak salah sekiranya para atlet bersaing secara sihat dan menjadikannya sebagai salah satu kayu pengukur kejayaan diri sendiri.

“Sebagai atlet hoki, saya bangga dengan pencapaian sukan ini di negara kita yang mana Malaysia menutup kalendar sukan hoki tahun 2021 lalu dengan pencapaian sebagai 10 pasukan terbaik dunia selepas menduduki tangga ke-10 dalam carta kedudukan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

“Saya rasa tidak mustahil Malaysia muncul antara tiga terbaik di peringkat dunia pula suatu hari nanti. Besar harapan saya untuk menjadi salah seorang pemain yang dapat menyumbang dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” ujarnya kepada Wilayahku.

Tidak mahu mensia-siakan peluang dan masa yang ada, atlet ini nekad mempamerkan aksi terbaik dalam Liga Hoki Malaysia 2023 yang dijadual berlangsung bermula 9 Februari ini.

“Saya percaya latihan yang konsisten perlu bagi memperhalusi mutu dan tahap permainan seseorang. Pelbagai persiapan telah dilakukan. Saya akan buat yang terbaik, insya-Allah,” ujarnya.

Menyingkap permulaannya dalam sukan tersebut, Muhamad Izham berkata dia mula menceburi sukan hoki ketika berusia 12 tahun selain menjadikan pemain hoki dari India, Sardar Singh sebagai idolanya.

Bagi pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) ini, untuk berjaya, dia perlu bekerja keras selain memberi komitmen yang sangat tinggi sama seperti yang dilakukan idolanya itu.

“Meskipun saya perlu mengambil masa bertahun-tahun untuk melayakkan diri sehingga ke peringkat Piala Dunia dan Olimpik namun ia amat berbaloi memandangkan ia merupakan cita-cita setiap atlet.

Insya-Allah saya akan menempatkan diri di peringkat yang lebih tinggi sebelum berusia 27 tahun. Diharap apa yang diinginkan tercapai dalam tempoh tersebut,” ujar anak bongsu daripada dua orang adik-beradik ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas