Utama

Taktik baru pengedar dadah tidak berjaya

MAZLAN menunjukkan dadah yang dirampas Khamis lalu.
- Diterbit 25 Disember 2019 4:14 AM MYT

MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Taktik seorang pemuda yang cuba berselindung dengan menjadikan dadah jenis Ketamin sebagai ketulan ais dan diedar di pusat hiburan akhirnya terbongkar selepas dia ditahan di kediamannya di ibu negara, Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah Brickfields itu juga berjaya membongkar satu makmal kecil memproses dadah jenis Ketamin.

Ujar beliau, polis turut merampas 14 paket besar plastik seberat 3.1 kilogram (kg) dan lima bungkusan plastik seberat hampir 5kg bahan berkenaan yang dianggarkan bernilai hampir RM 500,000 itu.

“Turut dirampas adalah 27 biji pil ecstasy seberat 15 gram (g), bahan mentah dan peralatan memproses dadah. Ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah amphetamine dan methamphetamine.

“Suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula Khamis lepas. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita percaya jumlah rampasan ini boleh dibekalkan kepada 8,176 orang. Suspek telah tiga bulan bergiat aktif dalam aktiviti ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, dadah yang siap diproses itu dipasarkan di kelab malam di ibu negara dan Indonesia.

“Kita akan terus berusaha menjejak pengedar dadah selepas ini.Malah kita percaya ada pengusaha pusat hiburan yang bersekongkol dengan pengedar,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas