Berita

PPZ MAIWP sedia pelbagai kemudahan, hadiah tarik pembayar zakat hujung tahun

ABDUL HAKIM memerhati kakitangannya mengemaskini dokumen secara atas talian di ibu pejabat PPZ-MAIWP di sini semalam.
- Diterbit 25 Disember 2019 4:25 AM MYT

MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyediakan pelbagai kemudahan termasuk operasi kaunter yang di buka sehingga pukul 9 malam bermula esok sehingga 31 Disember ini dalam usaha menarik lebih ramai pembayar zakat.

ABDUL HAKIM

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, selain itu, pembayar zakat yang melaksanakan tanggungjawab sehingga hujung tahun ini berpeluang memenangi pelbagai hadiah (gambar) menarik termasuk pakej umrah, pelancongan dan komputer riba.

Katanya, pembayar zakat juga boleh mendapatkan rebat cukai pendapatan individu kepada semua jenis bentuk pembayaran termasuk qadha zakat dengan mengemukakan resit.

“Mereka (pembayar zakat ) boleh membuat bayaran secara tunai, cek, kad debit atau kad perbankan Islam menerusi kaunter atau laman portal PPZ-MAIWP.

“Namun pembayaran perlu dibuat dalam tempoh 24 jam. Jika bayaran dibuat pada 31 Disember dan sistem mengalami masalah, seterusnya pembayar tidak dapat membuat tuntutan rebat cukai pendapatan individu tetapi kita akan tetap mengeluarkan resit,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Tambah Abdul Hakim, pembayar zakat juga boleh membuat bayaran di kaunter zakat bergerak di sekitar ibu negara bermula pukul 11 pagi sehingga 3 petang atau menghubungi 1-300-88-5757 untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Dalam ada itu, Abdul Halim berkata, pihaknya menyasarkan kutipan tambahan RM100 juta menjelang hujung tahun ini selepas menetapkan sasaran keseluruhan RM710 juta.

Katanya, setakat ini jumlah yang diperoleh sehingga 23 Disember adalah sebanyak hampir RM 600 juta dengan jumlah pembayar 196,453 orang.

“Kita juga ada Zakat Ride2U dengan datang ke rumah untuk pembayar zakat minimum RM5,000.

“Kita juga menyediakan kaunter khas untuk membuat taksiran supaya pembayar zakat tidak menunggu terlalu lama. Malah mereka dihidangkan jamuan ringan di samping vaucer makanan,” jelasnya.

Antara jenis zakat yang dibayar hujung tahun termasuklah zakat pendapatan, zakat simpanan, zakat perniagaan, zakat emas dan qadha zakat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas