Berita

17 barang disenarai dalam SHMMP Krismas Labuan

KPDNHEP melakukan pemantaun dari semasa ke semasa. - Gambar hiasan KPDNHEP Labuan melakukan pemantauan dan hebahan mengenai SHMMP Krismas 2019 di Pasar Sentral Labuan di sini hari ini.
- Diterbit 23 Disember 2019 9:16 AM MYT

Oleh MD. KHAIRUL AZAD YUNUS

LABUAN – Sebanyak 17 jenis barangan disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2019 di sini hari ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan dalam satu kenyataan memaklumkan, skim yang berkuat kuasa semalam hingga 31 Disember ini bertujuan menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Krismas yang akan disambut pada 25 Disember.

“Kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, daging kambing dan daging babi.

“Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan supaya memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga. Sehubungan itu, harga maksimum ditentukan di peringkat pengeluaran (ladang) bagi ayam hidup dan telur ayam,” katanya.

KPDNHEP Labuan turut memaklumkan, penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.

Kenyataan tersebut juga mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalty.

“Denda sebanyak RM 100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum manakala bagi pihak Syarikat pula, mereka boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.

“Manakala bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 bagi individu dan denda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 bagi kesalahan yang dilakukan syarikat,” katanya.

Jenis barangan yang terlibat dalam SHMMP Krismas 2019 di Labuan adalah ayam hidup atau ayam standard; ayam super; daging kambing dan bebiri import bertulang; telur ayam gred A; telur ayam gred B; telur ayam gred c; kepak ayam; ayam belanda import; tomato; kubis bulat import; cili merah; lada benggala hijau; ubi kentang import (china); babi hidup; daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas