Personaliti

Tak ‘sekencang’ di jalanan

MEOR YUSOF
- Diterbit 15 Jun 2020 9:15 AM MYT

BAGI pengguna LRT dan Komuter di stesen KL Sentral, kelibat lelaki mendendangkan lagu-lagu Melayu dan Inggeris di pintu masuk Komuter adalah sebahagian daripada ‘roh’ stesen transit itu. Sudah 10 tahun lelaki itu setia menghiburkan pengunjung yang lalu lalang setiap petang.

Tapi semuanya terhenti sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan 18 Mac lalu. Larangan berkumpul di tempat awam disebabkan wabak Covid-19, menyebabkan mereka hilang sumber rezeki.

Bagi Meor Yusof Aziddin Meor Hassan, 53, yang sudah 10 tahun menjadi resident busker di KL Sentral dan lebih 20 tahun dalam industri muzik jalanan, situasi getir ini terpaksa dilaluinya dengan pasrah demi kebaikan semua.

“Tiada siapa yang minta semua ini berlaku, bukan hanya di Malaysia, malah di seluruh dunia. Sebagai rakyat, saya akur dengan perintah kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 yang entah bila akan berakhir.

“Ia sangat terjejas kerana busker memang bermain muzik di hadapan khalayak ramai dan akan memberi sumbangan jika mereka suka.

“Namun, tipulah kalau saya cakap tidak terkilan langsung dengan apa yang berlaku. Iyalah, saya juga manusia biasa pasti emosi saya terkesan apabila tidak dapat mencari rezeki seperti biasa. Busking adalah periuk nasi saya semenjak 20 tahun lalu.

“Apa-apa pun saya percaya kepada rezeki yang Allah tetapkan. Saya juga yakin semua ini ada hikmahnya yang tidak kita nampak di mata kasar. Jauh sekali hendak berputus asa.

“Mujurlah ada internet, kami golongan busker boleh busking di rumah masing-masing dan membuat persembahan secara langsung menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook (Meor Pesta Jiwa). Saya sertakan sekali nombor akaun bank bagi mereka yang mahu menyumbang.

“Alhamdulillah! Walaupun pendapatan yang diperolehi tidaklah ‘sekencang’ berada di jalanan, saya bersyukur rezeki masih ada dan tidak putus. Apa yang seronok, bakat kami lebih diketahui ramai apabila dikongsi bersama rakan-rakan Facebook yang lain,” luah Meor Yusof yang berharap busker muda di luar sana rajin menyimpan duit supaya boleh digunakan di saat-saat memerlukan.

Baginya, dalam keadaan ekonomi negara yang sangat mencabar, perlunya ada simpanan untuk diri dan keluarga.

“Nasihat saya kepada busker-busker muda, anda sangat beruntung lahir dalam zaman teknologi yang serba canggih ini. Jadi mereka lebih terdedah untuk memperbaiki kelemahan diri dan membuat persembahan yang lebih kreatif.

“Cuma pesan saya, rajin-rajinlah menyimpan wang yang diperoleh. Sebagai busker pendapatan tidak menentu. Ada naik turunnya. Jadi, janganlah berbelanja sesuatu yang tidak penting,” jelasnya yang mula menjadi busker pada tahun 2000.

Nasib busker lebih terbela

Bagi Meor Yusof, golongan busker sekarang lebih beruntung kerana penghibur jalanan sudah mula dipandang malah sudah diiktiraf oleh kerajaan. Kalau dulu, dia sering dihalau kerana bermain muzik di jalanan, kini busker mempunyai ‘lesen besar’ untuk bermain muzik di jalanan tanpa rasa bimbang.

“Dulu, sering dihalau oleh pihak berkuasa itu adalah asam garam sebagai busker. Mahu atau tidak, saya tidak boleh mengalah kerana cinta yang kuat terhadap muzik dan sumber pendapatan saya.

“Lain pula sekarang, golongan busker sudah mempunyai persatuan dan mendapat sokongan penuh daripada kerajaan. Maka industri muzik jalanan semakin berkembang dan dihormati oleh masyarakat. Bukan sahaja di jalanan, mereka sering diundang bermain muzik untuk pelbagai acara.

“Saya sendiri pun sering diundang untuk busking di majlis kahwin, makan malam, pasti hari jadi dan sebagainya.

“Malah, busking juga menjadi platform kepada anak-anak muda untuk menjadi artis atau pemuzik profesional. Sebagai antara generasi awal sebagai busker, saya gembira melihat busker sekarang mempunyai banyak kelebihan. Mereka juga sebenarnya adalah artis cuma tidak semua mendapat liputan yang meluas,” ujar Meor yang menjadikan kumpulan Caliph Buskers sebagai contoh busker yang berjaya.

Meor Yusof juga pernah menerima penghargaan iaitu Anugerah Khas Seniman Jalanan daripada Malaysian Busker Club (mybc).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas