Berita

“Tak perlu panik, barang di pasar raya penuh” – Muhyiddin

MUHYIDDIN meninjau barang yang ingin dibeli ketika berkunjung ke sebuah pasar raya di Kuala Lumpur. Gambar Facebook Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Diterbit 29 Mac 2020 4:59 PM MYT

KUALA LUMPUR – Walaupun menjadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap perlu menjalankan tugasnya sebagai ketua keluarga untuk membeli barangan keperluan ketika Perintah Kawalan Pergerakan sekarang ini.

Pagi tadi beliau sempat turun ke sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.

“Cari barang-barang sedikit sambil melihat amalan orang ramai di pasar raya.

“Alhamdulillah, ramai sudah peka mengenai keperluan penjarakan sosial,” kata beliau dalam Facebooknya.

Dalam pada itu, melalui foto-foto yang dikongsi Facebooknya, Muhyiddin kelihatan begitu santai meninjau dan memilih barang yang ingin dibelinya.

Sebelum membeli, Muhyiddin turut diperiksa suhu badannya oleh staf keselamatan pasar raya itu.

Sambil menyorong troli, beliau yang memakai penutup hidung dan muka serta memakai sarung tangan plastik  meneliti produk-produk dan barangan yang dijual di pasar raya itu.

Muhyiddin meminta orang ramai tidak panik kerana barang-barang di pasar raya pun penuh.

“Jadi kita tidak perlu panik,” kata beliau.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas