Berita

Henti feri penumpang, bot laju di Labuan dilanjut ke 14 April

PENDUDUK hanya dibenar menaiki feri Ro-Ro untuk ke Sabah, Sarawak dan Brunei dalam tempoh PKP hingga 14 April ini. Hanya seorang penumpang iaitu pemandu kenderaan dibenarkan guna khidmat ini. Empat buah feri kenderaan tersebut hanya melakukan satu perjalanan setiap hari.
- Diterbit 29 Mac 2020 4:09 PM MYT

LABUAN – Pemberhentian perkhidmatan pengangkutan awam laut iaitu feri penumpang dan bot laju dari Labuan ke Sabah dan Sarawak berkuat kuasa sejak 24 Mac lepas, dilanjutkan sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat 14 April ini.

Jadual pelayaran feri kenderaan yang telah dikurangkan kepada satu perjalanan bermula 24 Mac lepas untuk empat feri yang beroperasi dari Labuan-Menumbok-Labuan, berbanding tiga perjalanan sebelum ini juga akan kekal sehingga PKP berakhir.

Arahan itu akan dikeluarkan Jabatan Laut Malaysia Labuan pada Isnin depan, kepada pengusaha feri Jutabonus Development Sdn. Bhd. yang mengendalikan Feri Galaxy dan Labuan Mainland Link Sdn. Bhd. dengan tiga ferinya iaitu Kimanis 1, Putrajaya 1 dan Goodwill Star.

Pengarah Jutabonus Development, Benjamin Bernard Bijion berkata, selepas arahan pemberhentian perkhidmatan itu dikeluarkan pada 23 Mac, bilangan kenderaan dan penumpang ke Menumbok, Sabah, melalui Terminal Feri (kenderaan) Labuan telah berkurangan begitu ketara, manakala di Terminal Feri (penumpang) Antarabangsa Labuan kekal lengang.

“Ia (arahan) baik, kita dapat mengelakkan perkumpulan ramai orang di kedua-dua terminal feri yang boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19, kita mahu bebaskan Labuan daripada wabak ini, sebab kedua terminal ini adalah pintu masuk dari Sabah, Sarawak dan Brunei,” katanya kepada Bernama.

Kata Benjamin, penumpang yang merancang untuk ke Kota Kinabalu, Menumbok dan Sipitang, Sabah serta Limbang dan Lawas, Sarawak melalui Terminal Feri Antarabangsa Labuan, diingatkan agar mengikuti pelayaran feri kenderaan (Feri Ro-Ro).

Beliau berkata, penjadualan pergerakan feri dan pemberhentian perkhidmatan pengangkutan laut penumpang adalah selaras dengan PKP bermula 18 hingga 31 Mac dan dipanjangkan ke 14 April bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Benjamin berkata, arahan penjadualan pelayaran itu telah dibincangkan dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah serta LDA Holding.

“Kesemua operator feri dikehendaki mengikut jadual pelayaran yang telah diberikan kepada mereka sebelum ini,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas