Berita

Tahun naga disambut meriah di seluruh negara

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 10 Februari 2024 5:15 PM MYT

MASYARAKAT Cina di seluruh negara hari ini menyambut tahun baharu iaitu tahun naga, yang dipercayai membawa simbol kekuatan, kehormatan, kejayaan dan keberuntungan.

Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina nyata tidak hanya dirasai oleh masyarakat Tionghua, malah seluruh rakyat pelbagai kaum di negara ini turut sama tidak melepaskan peluang memanfaatkan cuti hujung minggu yang panjang dengan pelbagai aktiviti bersama keluarga.

Tinjauan Bernama di ibu negara mendapati penganut agama Buddha mula mengunjungi Tokong Thean Hou, di sini seawal 7 pagi untuk bersembahyang dan memohon hajat sebelum menziarahi ahli keluarga yang lain.

Menurut jurucakap pengurusan tokong iaitu Persatuan Hainan Selangor dan Wilayah Persekutuan, kira-kira 50,000 pelawat dijangka hadir ke tokong berkenaan hingga petang ini.

“Bermula malam tadi, pihak kami sudah menjalankan beberapa aktiviti seperti pertunjukan bunga api yang dihadiri kira-kira 10,000 pelawat terdiri daripada warga tempatan dan asing, kalau lihat di sekitar tokong ini juga turut dihiasi dengan tanglung merah terang dan naga bagi membangkitkan lagi suasana tahun ini.

“Bersempena dengan tahun naga ini, masyarakat Cina percaya ia dapat membawa kemajuan dalam hidup mereka, oleh itu memang ramai yang akan hadir untuk berdoa dan memohon hajat masing-masing,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Masyarakat Tionghua di PULAU PINANG menyambut perayaan itu dalam suasana meriah dengan komuniti itu mengambil peluang menziarahi dan berkunjung ke rumah terbuka ahli keluarga serta rakan-rakan.

Bagi peniaga Ben Ooi Chooi Beng, 42, biarpun dia seorang mualaf, ia tidak menghalangnya meraikan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga penuh meriah sama seperti sebelum memeluk agama Islam tujuh tahun lepas.

“Setiap tahun saya tidak pernah lupa untuk meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga kerana ia satu perayaan adat menurut masyarakat Tionghua dan bukan keagamaan, malah keluarga saya juga faham.

“Mereka akan tempah makanan daripada katering halal bukan sahaja untuk kami, malah rakan-rakan dari pelbagai kaum yang turut hadir pada sambutan Tahun Baharu Cina di rumah keluarga saya, ini memang tradisi setiap tahun kerana kami berkawan dengan semua orang tanpa mengira agama serta bangsa,” katanya.

Di JOHOR, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menghadiri Majlis Ramah Tamah sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma Tionghua di Taman Sri Tebrau anjuran Persekutuan Tionghua Johor Bahru yang dihadiri kira-kira 300 orang mewakili pelbagai kaum.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan pukulan gendang dan tarian masyarakat Cina.

Onn Hafiz ketika berucap menyifatkan tahun naga membawa simbol kekuatan, turut melambangkan kekuatan perpaduan rakyat di Johor sekali gus membentuk kemajuan negeri itu.

“Tahun ini pelbagai perancangan telah dirangka oleh kerajaan negeri kerana kita mahu mencapai misi negeri maju menjelang 2030. Saya berharap dalam menjadi sebuah negeri yang maju, semua kaum mesti terlibat dan memainkan peranan bagi membantu kerajaan untuk mencapainya,” katanya.

Di MELAKA, sambutan Tahun Baharu Cina meriah dengan kemasukan lebih 40,000 kenderaan sehari ke negeri itu sempena panjang cuti hujung minggu ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata selain menyambut perayaan berkenaan, destinasi pelancongan di negeri itu juga turut menjadi tumpuan pengunjung sama ada dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, masyarakat Cina di beberapa negeri turut memulakan sambutan Tahun Baharu Cina dengan melakukan upacara keagamaan dan berharap tahun naga membawa lebih kebaikan dan kebahagiaan buat seluruh rakyat.

Di SELANGOR, ribuan penganut Buddha hadir ke Tokong Kuan Yin di Klang bagi melakukan upacara keagamaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina sejak semalam.

Cuaca mendung di TERENGGANU membolehkan penganut Buddha bersembahyang dalam keadaan yang selesa di Tokong Persatuan Nan Ann di Jalan Kemajuan, Kampung Pulau Kambing, manakala Wat Prachachinaram di Tumpat, KELANTAN menjadi tumpuan penduduk Cina Peranakan bersembahyang sempena sambutan perayaan itu.

Di KEDAH, masyarakat Cina sempat mengambil peluang untuk melakukan aktiviti riadah dan bersukan sebelum meraikan Tahun Baharu Cina.

Tan Ming Chia, 38, yang menetap di Kuala Lumpur pulang ke kampungnya di Taman Wira Mergong melakukan kayuhan basikal sejauh 20 kilometer (km) di sekitar Alor Setar bersama empat lagi rakannya.

Warga emas  Lim Kok Siew, 67, dari Kampung Berjaya, Alor Setar pula meneruskan rutin hariannya dengan berlari kira-kira 6km di Taman Rimba seawal 6 pagi.

Tinjauan Bernama di Putrajaya, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang mendapati orang ramai meluangkan masa bersama keluarga berkunjung ke pusat beli-belah dan lokasi tumpuan pelancong serta merakamkan gambar dan video dekorasi Tahun Baharu Cina yang ada. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas