Tahap pematuhan SOP di  kedai gunting rambut melebihi 90 peratus – Nanta

Tahap pematuhan SOP di kedai gunting rambut melebihi 90 peratus – Nanta

TAHAP pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pengusaha kedai gunting rambut, salun dan salun kecantikan di negara ini adalah memuaskan iaitu melebihi  90 peratus sejak sektor itu dibenarkan beroperasi semula pada 10 Jun lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi  berkata berdasarkan 551 pemeriksaan yang dijalankan ke atas premis berkenaan sejak tarikh tersebut, tiada pengusaha yang diarahkan menutup operasi.

“Penguat kuasa kementerian akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan kerana kedai gunting rambut mudah terdedah kepada jangkitan COVID-19 disebabkan perkhidmatan melibatkan kontak fizikal,” katanya kepada pemberita selepas melawat syarikat Prifaria Distribution Haulage cawangan Prai dekat sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sehingga kini sebanyak 788 notis melibatkan Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga.

Terdahulu, Nanta turut meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat syarikat Heap Lee Chan  Sdn Bhd di  Simpang Empat Bukit Mertajam.

CATEGORIES