Berita

Legasi Z Sufi sasar RM30 juta

SUHAILA dan Azahar menunjukkan produk Man-G yang dipasarkan oleh kumpulan Legasi Z Sufi. SUHAILA dan Azahar menunjukkan produk Man-G yang dipasarkan oleh Kumpulan Legasi Z Sufi.
- Diterbit 21 Jun 2020 3:00 AM MYT

MEMPUNYAI kepelbagaian produk Kumpulan Legasi Z Sufi yang ditubuhkan pada Januari 2018 menyasarkan kutipan jualan sebanyak RM30 juta pada penghujung tahun ini.

Pengarah Kumpulan Legasi Z Sufi, Suhaila Abdul Kadir berkata, daripada jumlah itu, sasaran RM2.1 juta adalah dari jualan produk jenama sendiri iaitu Chef Manjie, Artthink AlManjie, AlManjie Scarves dan Man-G.

“Man-G adalah produk susu tin yang terdiri daripada susu pekat dan susu cair. Ia baru dilancarkan pada awal tahun ini dan sekarang boleh didapati di laman web sayabeli.online dan pasar raya Malakat Mall, Cyberjaya . Ia akan dipasarkan ke seluruh negara tidak lama lagi.

“Mungkin ramai yang bertanya kenapa kita memilih susu tin kerana produk seperti ini sudah banyak di pasaran. Ini kerana kita menghasilkan produk yang lebih berkualiti.

SUHAILA dan Azahar menunjukkan produk Man-G yang dipasarkan oleh Kumpulan Legasi Z Sufi.

“Produk susu Man-G diperkaya dengan vitamin B1, A dan D3. Selain itu ia juga mempunyai lebih buih dan dapat menambah kenikmatan rasa,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menceritakan tentang produk baharu yang akan dipasarkan pula, Suhaila memberitahu, beliau fokus kepada bahan penambah perasa makanan
seperti serbuk pati ayam, serbuk seenak rasa, serbuk pati makanan laut, sos pasta pedas dan tradisional, perencah perapan daging, sup krim cendawan, sardin, paste laksa Johor dan Penang selain tepung kek coklat.

Tambahnya, pada masa ini, produk-produk berkenaan dalam proses pendaftaran dan pengeluaran. Ia dijangka berada di pasaran pada penghujung tahun ini.

SUMBANGAN DAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT (CSR)

Menawarkan kepada pelanggan konsep ‘membeli sambil menderma’, setiap 10 peratus daripada keuntungan yang diperolehi oleh syarikat akan disumbangkan kepada golongan yang memerlukan seperti asnaf (B40) dan pelajar.

Malah, bagi memudahkan sumbangan disalurkan kepada golongan sasar, Kumpulan Legasi Z Sufi telah dilantik sebagai rakan strategik kepada Food Bank Malaysia (FBM) di bawah kelolaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN-HEP) dan Food Bank Jawi dibawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP).

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Operasinya, Azahar Shahimi, Kumpulan Legasi Z Sufi telah menyediakan gudang simpanan (Distribution Centre-DC) yang dikenali sebagai Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Makanan di Kajang, Selangor sejak Oktober 2019.

ANTARA produk yang laris dipasaran.

Kumpulan Legasi Z Sufi juga telah memutuskan untuk menyumbang sebanyak 10 peratus daripada keuntungan keseluruhan hasil jualan produknya kepada pihak FBM bagi tujuan operasi dan pembelian barangan keperluan.

Gudang tersebut juga menerima sumbangan barangan makanan, minuman serta barangan bukan makanan seperti tuala wanita serta lampin bayi daripada penyumbang industri.

“Setiap barangan yang disumbangkan oleh industri akan dikumpul dan diselaraskan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan ramai individu kehilangan kerja, Kumpulan Legasi Z Sufi memperuntukkan RM300,000 untuk membantu mereka yang terkesan.

Azahar berkata, dalam tempoh itu, sumbangan turut diberikan kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta yang terperangkap di kolej kediaman, penduduk miskin bandar dan petugas barisan hadapan.

Ujarnya, sumbangan itu ­melibatkan kerjasama daripada beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

PELAJAR IPT antara penerima sumbangan daripada Kumpulan Legasi Z Sufi semasa PKP baru-baru ini.

“Kita bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan menghantar bantuan berbentuk barangan keperluan kepada rakyat Malaysia yang terkandas di Wuhan, China.

“Kira-kira dua kontena barangan keperluan telah disalurkan ke sana dengan kerjasama NADMA.

“Selain itu, penghargaan berbentuk penyaluran barangan keperluan diberikan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai tanda terima kasih kerana negara tersebut memberi sumbangan kit ujian Covid-19 kepada Malaysia,” ujarnya.

Mengulas tentang perancangan Kumpulan Legasi Z Sufi pada masa hadapan, ujar Azahar, kerjasama akan dilakukan bersama FBM bagi membangunkan aplikasi ebantu.net yang membolehkan pihak ketiga membuat permohonan untuk individu susah yang diketahui.

“Melalui aplikasi itu, lebih ramai rakyat Malaysia yang memerlukan dapat dibantu selain memastikan tiada yang tercicir,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas