Berita

Kariah perlu hayati tugas ikut Undang-undang Islam – Marzuk

AHMAD Marzuk menyerahkan surat pelantikan kepada salah seorang ahli jawatankuasa kariah masjid pada Majlis Penyampaian Surat Pelantikan Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat peringkat Wilayah Persekutuan Labuan sesi 2020 – 2023 di Masjid Negeri Jamek An-Nur di sini hari ini.
- Diterbit 21 Jun 2020 9:24 AM MYT

JAWATANKUASA Kariah Masjid dan Surau Wilayah Persekutuan Labuan harus menghayati tugasan masing-masing dengan merujuk kepada Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Kariah) 2019 bagi memastikan kelancaran dalam pentadbiran masjid dan surau.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, jawatankuasa yang baharu dilantik perlu sentiasa berhubung dengan agensi yang berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi mengeratkan kerjasama bagi memantapkan tadbir urus Masjid dan Surau Jumaat.

“Kita mahu jawatankuasa yang baharu dilantik dapat menguruskan kewangan masjid dan surau dengan berpandukan Garis Panduan Pengurusan Kewangan Masjid dan Surau Wilayah Persekutuan yang telah dikeluarkan oleh MAIWP pada tahun 2018.

“Ini bagi memastikan pengurusan kewangan dipatuhi dan aset-aset masjid serta surau Jumaat diurus dengan secara berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Surat Pelantikan Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat peringkat Wilayah Persekutuan Labuan sesi 2020 – 2023 di Masjid Negeri Jamek An-Nur di sini hari ini.

Turut hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail dan Pengurus Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan, Ahmad Saifuddin Md Tahir. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas