Berita

Wakil mediasi Parlimen dilantik

SHAHRUDDIN (tengah) bergambar bersama wakil-wakil komuniti strata seluruh Kuala Lumpur selepas majlis perasmian Konvensyen Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 31 Oktober 2019 9:16 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Seramai dua wakil mediasi perumahan strata setiap kawasan Parlimen dilantik untuk menjadi pemudah cara untuk setiap aduan daripada komuniti strata di ibu kota.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh berkata, kesemua wakil mediasi itu dilantik oleh Bahagian Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur (COB) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Untuk itu Kursus Latihan Kemahiran Mediasi Bagi Tujuan Pentauliahan Mediator telah diadakan pada 12 hingga 15 Mac lalu yang dianjurkan COB Kuala Lumpur dengan kerjasama Pusat Mediasi Malaysia, Majlis Peguam Malaysia.

“Kursus tersebut turut melibatkan dua wakil Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) DBKL,’’ katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan yang juga Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur dan Pengarah Eksekutif Pengurusan DBKL, Datuk Mustafa Mohd Nor.

Menurut Shahruddin, kehidupan di bangunan berstrata melibatkan perkongsian ramai penghuni dalam jumlah dan jurang profil yang luas serta berbeza dari segi agama, kaum, budaya, jantina, umur, pekerjaan, pendapatan dan sebagainya.

“Berdasarkan rekod aduan sehingga Ogos lalu, sebanyak 5,611 aduan diterima sama ada melalui surat, emel, bersemuka atau telefon.

“Oleh itu, salah satu mekanisme terbaik bagi penyelesaian aduan berkenaan secara kolektif hanya dapat dicapai melalui mediasi,’’ katanya.

Tambahnya, usaha-usaha yang dilakukan itu bukan hanya tertumpu kepada penyelesaian aduan, malah sebagai pemudahcara kepada pihak pengurusan untuk mengendalikan hal ehwal perumahan strata melalui Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC).

Tambah Shahruddin, bagi membantu JMB dan MC menguruskan perumahan berstrata ini, pihak COBKL melancarkan Kit Strata untuk menjadi pemudah cara kepada mereka.

“Kit Strata ini merupakan pek permulaan yang mengandungi garis panduan, buku dan tatacara penyenggaraan serta pengurusan bangunan berstrata dalam bentuk yang ringkas dan mudah difahami.

“Kit Strata ini boleh dijadikan panduan oleh anggota JMB dan MC yang baru dilantik untuk memahami tanggungjawab dan tugas mereka.

“Usaha ini boleh dijadikan panduan dan pemudahcara dalam menangani masalah dalam kehidupan berstrata yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak pengurusan dalam menjadikan mereka pengurusan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Shahruddin turut menyampaikan Anugerah Penarafan Bintang Badan Pengurusan Bersama/Perbadanan Pengurusan Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019 kepada Badan Pengurusan Bersama Pangsapuri Mutiara Magna dan Perbadanan Pengurusan Apartment Arena Shamelin.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Khas Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kepada tiga JMB iaitu Perbadanan Pengurusan Desa Putra, Wangsa Maju dan Perbadanan Pengurusan Taman Sri Bahtera serta Badan Pengurusan Bersama Pangsapuri Sri Penara, masing-masing Cheras.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas