Berita

DBKL hargai peranan media sebar maklumat tepat

NOR HISHAM (depan, tengah) bergambar bersama pengamal media pada Malam Penghargaan Media Kuala Lumpur 2019 di Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto: NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 31 Oktober 2019 9:24 AM MYT

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini menganjurkan Malam Penghargaan Media Kuala Lumpur 2019 bagi menghargai peranan media dalam melaporkan mengenai pembangunan dan dasar-dasarnya kepada warga kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan berkata, menerusi laporan berita yang tepat kepada warga kota, ia telah mengangkat DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan yang mampu menguruskan pembangunan fizikal dan kesejahteraan warga kota.

“Media massa merupakan satu platform yang penting dalam menyalurkan maklumat kepada orang ramai.

“Saya melihat di sinilah kepentingan peranan media dalam membantu kerajaan menyampaikan maklumat kepada warga kota khususnya tentang dasar-dasar dan program yang akan dilaksanakan,” katanya ketika berucap merasmikan Malam Penghargaan Media Kuala Lumpur 2019 di sini baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Pengurusan DBKL, Datuk Mustafa Mohd. Noor; Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff dan Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Mohd. Sahak Surip.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin.

Nor Hisham berkata, DBKL sebagai pentadbir Kuala Lumpur akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada warga kota.

“Betapa hebatpun sesuatu perkara, jika ia tidak dipromosi dengan baik, ia akan menjadi tidak bermakna dan sia-sia,’’ katanya.

Sementara itu, stesen Radio Kuala Lumpur FM (KLFM) menerima anugerah khas Datuk Bandar kerana pembabitannya sejak tiga dekad lalu dalam menyampaikan maklumat kepada warga kota.

Kira-kira 11 organisasi media tempatan termasuk Wilayahku turut menerima penghargaan yang disampaikan Nor Hisham.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas