Berita

UPSR, PT3 2020 dibatalkan

Gambar hiasan
- Diterbit 15 April 2020 9:06 AM MYT

PUTRAJAYA 15 April – Kementerian Pendidikan mengumumkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Mohd Radzi Md Jidin berkata, pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid-murid termasuk para pelajar PT3.

“Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata.

“Kaedah baharu ini juga akan diperkenalkan untuk PT3 dan keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan bagi kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan Sekolah Teknik,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Seramai 450,000 pelajar seluruh negara bakal menduduki UPSR yang dijadualkan awal September ini.

Sementara itu, tarikh peperiksaan semester dua, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia turut diubah kepada Ogos 2020 manakala peperiksaan semester ketiga akan diadakan pada suku tahun pertama 2021.

Bagi tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) pula akan ditunda kepada suku pertama 2021.

Dalam pada itu, cuti sekolah akhir tahun tidak dipendekkan dan kekal seperti Takwim Persekolahan 2020.

Keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan juga akan dibuat setelah KPM benar-benar yakin keadaan telah kembali pulih.

Pada peringkat ini, pembukaan sekolah hanya melibatkan kelas peperiksaan awam iaitu SPM, SVM, STPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas