Berita

E-Bazar juadah Ramadan hanya boleh guna sistem e-hailing

KAEDAH E-Bazar diperkenalkan untuk orang ramai membeli juadah berbuka puasa. - Gambar hiasan
- Diterbit 15 April 2020 9:21 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan perkhidmatan E-Bazar bagi jualan ketika bulan Ramadan ini hanya dibenarkan beroperasi menerusi sistem pesanan dan hantar menggunakan sistem e-hailing.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu selaras bagi mengurangkan pergerakan orang ramai untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Kata beliau, dua konsep lain yang turut dicadangkan iaitu pesan dan ambil di bazar Ramadan serta kaedah pandu lalu masih perlu diperhalusi dari segi prosedur operasi standard (SOP).

“Kebimbangan kita jumlah kenderaan yang akan terlibat apabila konsep pandu lalu diperkenalkan nanti.

“Saya percaya mungkin ramai keluar serentak dan orang ramai menggunakan alasan sama seterusnya menyukarkan pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan, penyelarasan antara negeri akan dilakukan berhubung SOP E-Bazar meskipun terdapat negeri yang membuat keputusan sendiri berhubung perkara tersebut.

Beliau menambah, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga diminta meneliti perkara ini dengan pihak berkuasa tempatan.

“Walaupun Majlis Daerah dan Perbandaran mempunyai kuasa mereka sendiri, kita minta supaya selaraskan agar tiada perbezaan antara negeri dan keputusan Majlis Keselamatan Negara di peringkat Pusat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas