Berita

Universiti Awam diberi autonomi buat keputusan berkenaan Covid-19

NIE CHING (empat kiri) bersama Shahruddin (tiga kanan) ketika hadir melancarkan Pesta Buku Kuala Lumpur (PBAKL) 2020 semalam.
- Diterbit 14 Februari 2020 6:49 AM MYT

KUALA LUMPUR- Universiti Awam (UA) boleh membuat keputusan sendiri untuk menggantung kuliah berikutan bilangan pesakit Covid-19 yang semakin meningkat di dalam negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, UA telah diberikan autonomi untuk membuat keputusan berdasarkan situasi yang sama ketika jerebu sebelum ini bagi memastikan kesihatan pelajar terjaga.

“Untuk universiti, memang ada autonomi yang diberikan sebagai contoh semasa masalah jerebu, universiti diberikan autonomi untuk membuat keputusan atau membuat penyusunan yang sesuai dengan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis prapelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2020, di sini malam tadi.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Habibah Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Media hari ini melaporkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengarahkan pelajarnya bercuti selama 10 hari sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Neo Ching berkata, pihaknya akan mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menutup sekolah kerajaan sekiranya dicadangkan.

“Setakat ini kita tidak menerima nasihat ataupun arahan daripada KKM untuk menutup sekolah kerana belum ada kes positif terhadap pelajar sekolah,”

“Aktiviti luar (kelas) setakat ini masih berjalan seperti biasa dan sekiranya kes menjadi semakin serius, kami akan membangkitkannya kepada KKM untuka mendapatkan nasihat mereka,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas