Berita

KL Rovers perjuangkan karier pemain muda berpotensi

HAFIZ Kamal (kanan) dilihat mampu bawa cabaran KL Rovers dalam saingan Liga M3 musim ini.
- Diterbit 14 Februari 2020 6:23 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pendatang baharu dalam saingan Liga M3, KL Rovers mempunyai misi tersendiri untuk membantu pemain muda serta pemain yang terpinggir untuk kembali menyerlah dalam kancah bola sepak Malaysia.

Pengurus KL Rovers, Ashraf Mazlan memaklumkan pasukan tersebut telah mengikat pemain-pemain khususnya daripada skuad Piala Presiden serta beberapa pemain yang pernah beraksi di Liga Super dan Perdana.

“Kami ingin membantu pemain-pemain khususnya dari skuad Piala Presiden sebelum ini untuk membolehkan mereka terus membina kembali kerjaya mereka dengan pasukan ini.

“Kita akan bergerak dan menguruskan pasukan ini sendiri di mana kita sudah mendapatkan semua pemain yang diinginkan,” ujarnya.

Tambahnya, KL Rovers tidak terikat dengan mana-mana persatuan dan paling penting adalah bukan ‘Reserve Team’ kepada pasukan Kuala Lumpur yang bersaing dalam Liga Perdana.

Pasukan yang akan dikendalikan Nazrul Ezwan Makmur ini lebih tertumpu kepada perkembangan karier pemain-pemain muda yang sebelum ini tidak dapat menyerlah supaya kembali membuka mata pasukan yang lebih hebat untuk mendapatkan khidmat mereka pada masa akan datang.

Terbaharu bekas pemain Perak dan PKNP, Hafiz Kamal turut mewakili KL Rovers dalam saingan Liga M3 musim ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas