Berita

Abang tidak beritahu polis ugutan bunuh diterima CEO Cradel Fund

Saksi pendakwaan ke-19, Dr Malek Reedzwan Che Hassan, ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi kes pembunuhan CEO Cradle Fund, Nazrin Hassan
- Diterbit 14 Februari 2020 6:51 AM MYT

SHAH ALAM – Abang kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau tidak memberitahu polis berhubung ugutan bunuh yang diterimanya Nazrin sebelum kematian adiknya itu, Jun 2018.

Saksi pendakwaan ke-19, Dr. Malek Reedzwan Che Hassan, berkata, ia berikutan keyakinannya terhadap pihak polis dalam menjalankan proses siasatan kematian Nazrin.

“Maklumat ini (ugutan bunuh) saya terima atas inisiatif saya sendiri yang berjumpa dengan pembantu adik, Anis bagi mengetahui kejadian-kejadian yang menghala kepada kematiannya.

“Bila satu-satu kejadian kematian meragukan, tak ada sakit, jadi perasaan ingin tahu perkara sebenarnya yang berlaku (sebelum itu).

“Saya mahu tahu untuk maklumat diri saya sendiri. Saya juga yakin dengan kebijaksanaan polis untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Asyraf Ashy’ri Kamaruzzaman pada pemeriksaan utama kes itu di hadapan Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman, hari ini.

Terdahulu, Dr. Malek Reedzwan yang bertugas di hospital swasta di Johor Bharu, memberitahu mahkamah, dia tidak mengikuti sembahyang jenazah serta pengebumian Nazrin.

Katanya, tindakan itu dibuat selepas berasa terlalu marah kerana seorang lagi adiknya yang juga saksi ke-18, Dr. Abdul Aziz , tidak membenarkan mengambil gambar jezanah Nazrin atas arahan tertuduh pertama, Samirah Muzaffar.

“Sebenarnya, saya nak ambil gambar untuk kenangan. Adik saya ini sangat berjaya dan cantik tetapi rentung hitam ketika meninggal.

“Jadi, dia bagi saya kesedaran. Kita pandai, cantik tapi kesudahan kita macam ini. Bukan mahu letak di Facebook.

“Jadi saya marah dengan Aziz dan jalan yang terbaik, saya terus pulang ke Johor Bharu, tak nak bergaduh depan jenazah,” katanya.

Dr. Malek Reedzwan memberi keterangan terhadap isteri Nazrin, Samirah, 44, yang juga bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), serta dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa membunuh Nazrin.

Turut didakwa ialah seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara pukul 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas