Berita

UAMK: Raih untung RM6,000 sebulan

JUALAN menggunakan food truck lebih efektif dan memudahkan peniaga mahupun pembeli.
- Diterbit 1 Oktober 2021 4:22 AM MYT

MENYEDARI musibah pandemik COVID-19 telah ‘membunuh’ banyak perniagaan dalam negara, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) tampil dengan inisiatif Usahawan Anak Muda Kota (UAMK) yang bertujuan membantu golongan muda terkesan untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan.

Program yang bermula pada November 2020 itu bukan sahaja telah membuka peluang untuk golongan tersebut menambah pendapatan, malah turut merangsang ekonomi warga kota sekali gus meningkatkan taraf kehidupan mereka.

WAN NUR SYAFIQAH

Menurut Wan Nur Syafiqah Wan Adnan, 24, keputusan untuk membuka perniagaan di kawasan Tapak Urban Street, Taman Melati membuka langkah kanan buatnya apabila mampu memberikan kejayaan kepadanya dalam masa singkat.

“Sebelum ini kami jalankan perniagaan dari rumah secara atas talian dan menghantar pesanan. “Selepas membuat keputusan untuk berniaga secara sepenuh masa, kami memohon tapak di sini dan pada waktu itu ia dikenali sebagai Coridor Street Food,” katanya kepada Wilayahku pada Isnin.

Wan Nur Syafiqah berkata, ketika mula berniaga di Tapak Urban Street, Taman Melati dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), barangan jualan ditempatkan di sebuah khemah kecil berukuran kira-kira tiga meter persegi (10 kaki persegi).

“Ketika itu, kerajaan tidak membenarkan dine-in. Namun kami tetap jalankan perniagaan kerana orang ramai dan penduduk sekitar sudah mengenali kawasan ini,” katanya.

Katanya, sepanjang berniaga di kawasan tersebut, pernigaannya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk sekitar dan orang ramai yang mengetahui lokasi.

Jelasnya, untuk bulan pertama berniaga, walaupun ketika itu masih tidak dibenarkan ‘dine-in’, dia mampu meraih keuntungan kira-kira RM6,000 sebulan.

Bercerita lanjut, Wan Nur Syafiqah berkata, berbekalkan duit simpanan serta mempunyai fokus untuk mengembangkan perniagaan, dia beralih daripada berniaga di dalam khemah kepada food truck.

“Untuk mendapatkan kenderaan food truck ini, kami menyimpan duit keuntungan berniaga di sini. Selain turut mempunyai beberapa ejen di Lembah Klang,” katanya.

Jelas Wan Nur Syafiqah, program berkenaan amat bermanfaat kepada golongan sepertinya yang mahu memulakan perniagaan tapi ketiadaan modal besar.

“Bayaran yang dikenakan untuk sewaan tapak ini hanyalah RM500 sahaja tanpa ada bayaran lain.

“Malah segala urusan permohonan lesen amat mudah tanpa sebarang halangan birokrasi daripada pihak DBKL. Ini menunjukkan bahawa program ini memang memudahkan golongan muda seperti kami unutk berniaga

“Selain itu, kami juga mendapat jaminan tapak berniaga kerana walaupun telah beroperasi menggunakan food truck, kami tetapi diberikan tapak untuk berniaga di sini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas