DBKL kaji larang kakitangan bawa kereta setiap Jumaat

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan kajian untuk melarang pegawai dan kakitangannya membawa kenderaan ke pejabat pada setiap Jumaat bagi merealisasikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya kurang karbon.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, perkara tersebut merupakan salah satu cadangan untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam bagi mengurangkan pelepasan karbon di bandaraya.

“Perkara ini sedang dalam kajian lagi dan kalau boleh saya hendak minta pegawai-pegawai dan pekerja DBKL yang mana berulang dari rumah ke pejabat dengan menggunakan kereta untuk cuba dahulu.

“Mereka guna pengangkutan awam dan tinggalkan kereta di rumah masing-masing atau di stesen pengangkutan awam berhampiran rumah dan tempat parkir di kawasan bangunan DBKL akan ditutup setiap Jumaat,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas Majlis Perasmian Sustainable Developement Goals (SDG) Centre di Perpustakaan Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia, TPr Norliza Hashim.

Tambahnya, pihaknya turut memperkenalkan program dress down pada setiap Jumaat sebagai satu penghayatan kepada rendah karbon di DBKL.

“Pada setiap Jumaat, kita dress down, kita pakai pakaian yang tidak terlalu tebal, baju yang agak nipis dan kakitangan lelaki akan berpakaian lengan pendek dan berwarna cerah supaya tidak terlalu panas.

“Pendingin hawa di tempat kerja tidak terlalu sejuk dan dinaikkan kepada 25 darjah agar pelepasan karbon diminimakan,” katanya.

Dalam pada itu, Mahadi berkata, pihaknya turut akan membangunkan ladang-ladang solar di beberapa tasik sekitar bandaraya.

“Kita melihat, negara jiran Singapura telah bergerak ke arah itu. Kita mempunyai banyak tasik yang boleh digunakan untuk membangunkan ladang solar.

“Tenaga yang terhasil dari ladang solar ini akan dimanfaatkan bagi menggantikan tenaga fosil yang kita gunakan ketika ini,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS