Berita

Tugas COBKL beri bimbingan dan nasihat kepada JMB, MC

MAHADI (tengah) menyampaikan hadiah tempat pertama kategori kos sederhana rendah pada Majlis Penarafan bintang baru-baru ini.
- Diterbit 24 Mac 2023 5:00 AM MYT

KEWUJUDAN Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur (COBKL) adalah untuk memberikan bimbingan dan khidmat nasihat kepada pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Jawatankuasa Pengurusan (MC) berhubung pengurusan dan penyelenggaraan bangunan berstrata, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Kata beliau, bidang tugas COBKL berpandukan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) dan Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015 dan berperanan untuk meningkatkan kesedaran pemilik-pemilik unit.

“Selain itu, penghuni komuniti strata perlu peka mengenai konsep gaya hidup baharu yang perlu dimiliki apabila mendiami sesuatu pembangunan berstrata di Kuala Lumpur,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Penarafan Bintang Bagi Pengurusan Bangunan Berstrata untuk Skim Perumahan Kos Rendah dan Kos Sederhana Rendah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi Tahun 2022 baru-baru ini.

Mahadi berkata kehidupan dalam kawasan pembangunan berstrata ini melalui banyak cabaran dan ahli komuniti berstrata perlu membayar yuran penyelenggaraan.

“Ahli komuniti berstrata perlu hidup secara berkongsi kemudahan kemudahan dan kawasan yang memerlukan toleransi tinggi dan bersama-sama menyokong mematuhi house rules agar kehidupan di dalam skim pembangunan berstrata ini menghasilkan kualiti hidup yang sejahtera,” kata beliau.

Menurut Datuk Bandar, dalam melaksanakan Penarafan Bintang bagi pengurusan pembangunan berstrata untuk skim perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun 2022 ini, terdapat empat kriteria penilaian yang digunakan.

“Kriteria ini menjadi kayu pengukur kepada tahap kecekapan pihak JMB dan MC di dalam aspek-aspek pengurusan dan penyelenggaraan bagi setiap kawasan pembangunan berstrata yang diuruskan oleh mereka.

“Antara kriteria yang digunakan adalah pematuhan akta dan peraturan, pengurusan kendiri, pengurusan keselamatan dan risiko serta penglibatan komuniti strata,” jelas beliau.

Sementara itu, JMB Connaught Apartment mengungguli tempat pertama bagi kategori kos sederhana rendah manakala Perbadanan Pengurusan Sri Penara dinobatkan juara bagi kategori kos rendah. Kedua-dua JMB dan MC membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 berserta plaque dan sijil penghargaan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas