Utama

Tilawah Al-Quran Putrajaya serikan Ramadan

PERTANDINGAN Tilawah Al-Quran anjuran PPj tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada warga Putrajaya. Foto: Faris Azmi PPj
- Diterbit 3 April 2022 7:26 AM MYT

SEMPENA meraikan kehadiran bulan Ramadan 1443 Hijrah, Bahagian Perkhidmatan Komuniti dan Sukan, Perbadanan Putrajaya (PPj) akan menganjurkan Pertandingan Tilawah Al-Quran pada 14 April ini bermula pukul 9 pagi di Dewan Seroja, Presint 15, Putrajaya.

Menurut Ketua Urus Setia Pertandingan Program Tilawah Al-Quran, Adha Bahrudin, pelaksanaan pertandingan tersebut bagi memupuk minat generasi di pelbagai peringkat usia khususnya golongan remaja dan belia untuk mencintai Al-Quran serta mahir dalam hafazan dan bacaan Al-Quran.

“Di samping memupuk budaya membaca Al-Quran, pihak kami juga berusaha untuk membudayakan kesenian dan kefahaman Al-Quran khusus buat warga Putrajaya terutamanya pada bulan Ramadan ini.

“Dua kategori akan dipertandingkan iaitu Kategori A pelajar sekolah menengah berumur 13 hingga 18 tahun dan Kategori B pula pelajar sekolah rendah berumur lapan hingga 12 tahun,” ujarnya mengakui ia antara inisiatif dalam mendekatkan Al-Quran kepada pelbagai lapisan dan latar belakang masyarakat.

Tambahnya, peserta yang berjaya melepasi peringkat saringan pada 9 April ini akan layak mara ke peringkat final yang akan diadakan pada 14 April nanti.

“Dalam pertandingan itu, peserta yang mendapat tempat pertama akan menerima wang tunai bernilai RM400, tempat kedua RM300, RM250 di tempat ketiga, tempat keempat RM200, tempat kelima RM150, manakala tempat keenam dan ketujuh akan membawa pulang saguhati.

“Pelaksanaan majlis ini juga akan berlangsung selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya kepada Wilayahku.

Bagi warga Putrajaya yang berminat untuk menyertai pertandingan ini boleh mengimbas kod QR pada poster atau klik link https://tinyurl.com/TILAWAHALQURAN2022 untuk tujuan pendaftaran.

Dalam pada itu, Adha turut memaklumkan pihaknya akan menganjurkan Forum Ambang Ramadan pada 1 April 2022 bermula pukul 10 pagi yang bertempat di Dewan Sri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya.

“Forum tersebut akan dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan akan menampilkan ahli-ahli panel terkenal yang membicarakan pelbagai topik menarik bertemakan Ramadan.

“Bukan itu sahaja, pihak PPj turut menganjurkan program-program menarik pada bulan Ramadan ini antaranya Program Bubur Lambuk Wilayah Persekutuan Putrajaya, Program Tadarus Khatam Al-Quran@MPPWP Putrajaya, Program Minggu Infaq Putrajaya, Program Bantuan Hari Raya Aidilfitri@ B40 Putrajaya dan Program Kuiz Ramadan Kareem@Putrajaya,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas