Berita

Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang

KESAN kemusnahan akibat kebakaran yang berlaku di dua unit rumah di Jalan Suasa 3,Pekan Sg Besi.
- Diterbit 3 April 2022 3:42 PM MYT

DUA keluarga kini tinggal sehelai sepinggang setelah rumah didiami mereka musnah sama sekali dalam suatu kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 8.45 malam tadi hanya disedari oleh dua orang jiran mangsa yang terhidup asap tebal lalu bergegas menghubungi pihak bomba serta berusaha menyelamatkan apa termampu.

Kesemua ahli keluarga mangsa dipercayai tiada di rumah ketika kebakaran itu berlaku kerana sedang menunaikan solat tarawih di masjid berdekatan.

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Balai Sg Besi sedang giat memadamkan kebakaran.

Menurut Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Sg Besi, Salleh Daud, sebaik tiba ke lokasi 10 minit selepas terima panggilan kecemasan, dua unit rumah sedang dijilat api.

Katanya, sebuah jentera bomba dengan  kekuatan enam anggota dapat mengawal api dalam masa lapan minit seterusnya berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran 20 minit kemudian.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kuek Po Guan yang juga berada di lokasi kejadian berkata, sebarang jenis bantuan meringankan beban mangsa akan disegerakan termasuk menyediakan tempat penginapan sementara.

“YB Ahli Parlimen, Datuk Kamarudin Jaffar ambil maklum berkenaan kejadian malang yang menimpa keluarga ini, beliau sendiri sentiasa cakna terhadap keperluan rakyat.

“Jadi Datuk KJ kini sedang pertimbangkan jenis bantuan perlu diutamakan termasuk keperluan pakaian dan makanan,” ujarnya.

Pengerusi MPPWP Sub Zon 5 Bandar Tun Razak, Farouk Mohd Noor berkata, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pihak berwajib.

Katanya, kerja-kerja pembersihan dan juga kawalan keselamatan di lokasi kejadian itu lancar kerana dibantu oleh enam anggota polis Balai Sg Besi selain turut mendapat kerjasama penduduk setempat.

“Semua penduduk diingatkan agar sentiasa berwaspada selain menitik beratkan aspek keselamatan dan selalu memeriksa soket elektrik apabila meninggalkan rumah.

“Langkah pencegahan adalah penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku yang bukan sahaja undang kerugian malah mampu meragut nyawa,” tambahnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas