Berita

Tangguh dulu, alternatif terbaik – Mun Yee

MUN YEE (kanan) dan Pandelela Rinong ketika memenangi pingat perak Kejohanan Dunia 2019 di Gwangju, Korea Selatan.
- Diterbit 23 Mac 2020 10:37 AM MYT

KUALA LUMPUR – Penerjun negara, Leong Mun Yee mengakui keselamatan semua pihak terutama atlet harus diutamakan jika temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 mahu dijalankan mengikut jadual.

“Saya tidak dapat membayangkan apa yang bakal berlaku selepas ini namun mengharapkan penularan wabak Covid-19 dapat ditangani segera.

“Sekarang ini semuanya masih belum pasti tetapi apapun keselamatan harus menjadi keutamaan. Paling penting perlu dipastikan negara bebas daripada wabak ini dahulu,” ujarnya.

Dia berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkaitan pendirian Kementerian Belia Sukan (KBS) berhubung keselamatan dan kesihatan atlet dan pegawai negara yang akan menyertai temasya itu.

“Harapnya selepas sebulan ini keadaan akan pulih seperti sediakala dan kami boleh meneruskan latihan sekali gus ke Olimpik,” tambahnya.

Penerjun berusia 36 tahun ini merupakan antara atlet senior negara yang telah membuat sebanyak empat penampilan di Sukan Olimpik (2000, 2004, 2008 dan 2012) dan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bakal menjadi penampilan kali kelimanya.

Terdahulu, KBS masih menanti pengesahan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai penularan wabak Covid-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas