Berita

Masjid diarah guna tabung derma bantu ahli kariah

ZULKIFLI menyampaikan sumbangan #MusaadahCovid-19 kepada salah seorang daripada 132 penerima di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya baru-baru ini. Foto Facebook YaPEIM
- Diterbit 23 Mac 2020 1:07 PM MYT

PUTRAJAYA – Semua 88 masjid dan
109 surau Jumaat di seluruh Wilayah Persekutuan diarahkan agar memanfaatkan tabung derma mereka untuk membantu ahli kariah masing-masing yang terkesan akibat wabak Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bagi menyebarluaskan misi #MusaadahCovid-19, Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Putra serta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya diarahkan membantu anak-anak kariah yang memerlukan bantuan kewangan.

“Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga diminta untuk menyelaraskan perkara ini di semua masjid-masjid dan surau Jumaat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Zulkifli berkata, kebajikan umat Islam di Wilayah Persekutuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.

Untuk itu katanya, beberapa usaha telah dilaksanakan melalui misi #MusaadahCovid-19 yang memfokuskan asnaf dari Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri yang telah dikenal pasti.

Di samping itu, kata beliau, kebajikan petugas barisan hadapan (frontliners) tanpa mengira agama dan bangsa serta keperluan hospital di Wilayah Persekutuan juga tidak dikesampingkan.

“Saya amat meraikan sekiranya hal ini disambut dengan baik oleh semua pihak yang terlibat.

“Bagi pelaksanaan perkara ini di peringkat negeri, ia diserahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas