Berita

Sunway anjur Kempen ‘Together for Good’, ulangi komitmen Pembangunan Lestari-PBB

- Diterbit 14 September 2022 2:30 PM MYT

RANGKAIAN Pusat Beli-Belah Sunway (Sunway Malls) bakal menganjurkan Kempen ‘Together for Good’ untuk menegaskan sekali lagi komitmennya terhadap Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB-SDG) dalam bab alam sekitar dan sosial demi kemaslahatan masyarakat.

Sunway Malls dalam kenyataan hari ini berkata kempen tersebut akan dianjurkan sempena Hari Tindakan Global bagi PBB-SDG pada 25 Sept ini bersama Sunway REIT, dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan komitmennya terhadap enam inisiatif lestari.

Inisiatif tersebut adalah pemajakan hijau, operasi lestari, perolehan hijau, pengurusan sisa, pembangunan komuniti dan pertanian urban, dengan objektif menerima pakai kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Sepanjang kempen berlangsung pada 10 Sept hingga 2 Okt ini, pengunjung pusat beli-belah itu boleh mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dan bengkel yang mempromosi kehidupan mesra alam dan kemudian mempraktikkan amalan lestari itu di rumah dan dalam kehidupan harian.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls dan Theme Parks HC Chan ketika perasmian kempen berkata pusat beli-belah itu mengambil pendekatan holistik untuk melibatkan rakan kongsi, kakitangan dan juga pengguna dalam anjakan kelestariannya.

“Kelestarian adalah tanggungjawab yang harus dipikul oleh semua pihak. Kelestarian masa hadapan untuk generasi yang akan datang akan bergantung pada pilihan-pilihan umum yang kami buat dalam kehidupan seharian.

“Kami membayangkan masa depan Sunway Malls bukan sahaja kelihatan serba hijau, tapi juga beracuankan pembangunan lestari yang pintar agar kita dapat membantu menjadikan dunia ini lebih sejahtera buat generasi akan datang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Sunway Malls telah mengenal pasti lapan PBB-SDG untuk diberi perhatian, iaitu Matlamat 3: Tahap Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik; Matlamat 4: Pendidikan Berkualiti; Matlamat 6: Air Bersih dan Sanitasi; Matlamat 7: Tenaga Mampu Milik dan Bersih; Matlamat 10: Merapatkan Jurang Ketidaksamaan; Matlamat 12: Konsumsi dan Produksi Berhemah; Matlamat 13: Perubahan Iklim; dan Matlamat 17: Kerjasama untuk Mencapai Matlamat-Matlamat Sasaran. (Secara keseluruhan PBB-SDG mempunyai 17 matlamat.)

“Sunway Malls menyedari kepentingan kepada keperluan untuk berganding bahu dengan semua pihak bagi mencetus perubahan yang bermakna, justeru (pihak kami) telah memastikan usaha kelestarian ini diamalkan oleh semua peruncit serta pemegang taruh, termasuk menggalakkan para pengguna untuk turut memainkan peranan bersama.

“Ini akan melibatkan fokus yang berterusan ke atas enam inisiatif utama kelestarian,” menurut kenyataan itu.

Dari segi inisiatif Pemajakan Hijau dan Perolehan Hijau, menurut kenyataan itu, Sunway Malls adalah yang pertama di negara ini mengambil pakai pemajakan hijau sebagai sebahagian komitmennya terhadap operasi mesra alam yang memberi manfaat bukan sahaja kepada pembeli malah alam sekitar.

Ini termasuk memastikan ia selari dengan Perolehan Hijau Malaysia bagi merangsang penggunaan dan pengeluaran produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi hijau.

“Pelaksanaan Pemajakan Hijau menggunakan pendekatan 3E: Educate (Mendidik), Encourage (Menggalakkan) dan Enforce (Menguat kuasa). Sunway mengamalkan penyumberan yang bertanggungjawab, dan memperoleh barangan yang menggalakkan amalan lestari – bermula tahun 2023, Sunway akan memilih pembekal, kontraktor dan vendor yang berkongsi sentimen sama untuk dijadikan rakan kongsinya,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, bagi inisiatif Operasi Lestari, Sunway Malls berkata ia komited untuk menjadi rangkaian pusat beli-belah lestari rendah karbon yang memiliki bangunan hijau, sumber tenaga boleh diperbaharui dan mampu mengurangkan pengeluaran karbon.

“Oleh itu, untuk sekian lama, rangkaian pusat beli-belah ini telah menerima pakai pelbagai amalan yang inovatif bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan menjimatkan kos bagi menjalankan operasi secara lestari.

“Ia termasuk usaha seperti melancarkan sistem Parkir Pintar Sunway yang berciri tanpa tunai dan tanpa sentuh, sistem Internet Tandas yang pertama di Malaysia, serta penggunaan panel solar bagi menjana tenaga bersih tanpa bergantung kepada tenaga janaan batu arang,” katanya.

Selain itu, bagi inisiatif Pembangunan Komuniti dan Pertanian Urban, Sunway Malls berkata sejurus vaksin COVID-19 tiba di Malaysia, pihaknya telah menawarkan pelbagai kemudahan secara percuma bagi menjalankan usaha vaksinasi, sekali gus menyokong matlamat negara untuk mencapai imuniti kelompok.

“Dalam memerangi isu sekuriti makanan pula, program Food for Thought yang menggalakkan orang awam untuk menderma makanan telah dijalankan di seluruh rangkaian pusat beli-belah ini. Bank makanan dan tabung derma juga telah diwujudkan bagi membantu komuniti B40 dan mangsa banjir,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, menurut Sunway Malls, komuniti autisme dan penjaga mereka boleh menggunakan fasiliti dan bilik Autsome apabila mereka mengunjungi pusat beli-belah Sunway terpilih.

“Pelancaran The Farm baru-baru ini, iaitu hab pertanian urban yang terletak di Sunway Pyramid dan bazar hijau bersebelahannya, membekalkan lebih banyak alternatif lestari kepada pembeli,” katanya.

Kenyataan itu juga menyebut, inisiatif Sunway READ Library Project yang akan diperkenalkan tidak lama lagi, menyasarkan untuk membantu golongan kurang bernasib baik, khususnya yang minat membaca, mendapat lebih akses kepada bahan bacaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas