Utama

SKMM kendali lebih 11,000 aduan dalam tempoh enam bulan

- Diterbit 12 Ogos 2020 3:52 AM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya mengendalikan 11,216 aduan iaitu 99.83 peratus daripada jumlah keseluruhan aduan yang diterima suruhanjaya itu bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menurut SKMM dalam satu kenyataan hari ini, jumlah keseluruhan aduan ialah 11,235, merangkumi aduan berkaitan media baharu seperti penggodaman, perjudian dalam talian, promosi pelacuran, pelanggaran hak cipta, pemalsuan, pornografi, hasutan dan sebagainya.

Memperincikan perkara itu, SKMM menyatakan 80.56 peratus aduan diberi nasihat, 18 peratus aduan dirujuk kepada pihak penyedia platform media sosial untuk tindakan lanjut manakala 1.27 peratus aduan didapati melanggar peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setelah melalui proses penyiasatan rapi, tujuh kes didakwa di mahkamah, selebihnya dalam pelbagai peringkat siasatan seperti menunggu keputusan atau arahan lanjut daripada Jabatan Peguam (Negara).

“Aduan-aduan yang berada di luar bidang kuasa SKMM ialah sebanyak 0.17 peratus dan ini telah dirujuk kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut,” demikian menurut suruhanjaya itu.

SKMM menegaskan bahawa pihaknya komited menangani pelbagai isu berkaitan penyalahgunaan media sosial dengan menjalankan usaha penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara.

Justeru itu, SKMM menasihati orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyalahgunaan media sosial atau Internet supaya membuat laporan melalui portal https://aduan.skmm.gov.my/ atau e-mel [email protected]. -Bernama

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas