Berita

Shahidan arah bersedia hadapi gelombang kedua

BWI diberikan secara terus kepada mangsa bagi memudahkan urusan mereka. BWI diberikan secara terus kepada mangsa bagi memudahkan urusan mereka.
- Diterbit 31 Disember 2021 7:07 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan untuk bersiap sedia hadapi gelombang kedua banjir di Kuala Lumpur.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, dengan pelbagai sistem daripada setiap jabatan serta agensi dan juga kamera, DBKL boleh memaklumkan lebih awal tentang apa yang berlaku.

“Ia kerana kamera tersebut khusus untuk melihat aliran air dan kita akan mendapat maklumat awal jika sebarang sungai di Kuala Lumpur melebihi paras bahaya,” katanya kepada pemberita selepas sesi penyampaian Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa terjejas banjir di Tiong Nam Park, Chow Kit baru-baru ini.

Beliau turut berkata BWI diberikan secara terus kepada mangsa bagi memudahkan urusan.

“Mereka (mangsa) tidak perlu tergesa-gesa untuk pergi ke bank bagi mendapatkan wang bantuan sebanyak RM1,000 seperti diumumkan Perdana Menteri.

“Di Kuala Lumpur, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) turut memberi wang tambahan sebanyak RM300 manakala daripada pihak DBKL akan diberikan kemudian,” ujarnya yang berjanji wang bantuan akan disampaikan selewatnya Selasa depan kepada mana-mana mangsa yang tercicir.

Dalam pada itu, Shahidan berkata agensi di bawah KWP seperti DBKL dan Perbadanan Putrajaya (PPj) masih meneruskan operasi pasca banjir di kawasan-kawasan yang terjejas. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas