Berita

Selesai agih pek makanan pusingan pertama

ANGGOTA APM menurunkan bekalan makanan yang mahu diagihkan.
- Diterbit 24 April 2020 10:10 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah selesai mengagihkan set makanan asas untuk pusingan pertama kepada penduduk di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Terhad (PKPD).

Ketua Penolong Pengarah Kanan JKM, R. Pathmanathan berkata, untuk pusingan pertama ini, pihaknya telah mengagihkan makanan kering melibatkan penduduk di Sektor A sehingga Sektor E.

“Di Taman Seri Murni, sebanyak 1,570 bungkusan makanan kering telah diagihkan dengan melibatkan pecahan di blok E1 sebanyak 620, blok E2, 520 dan blok E3, 430 set dan ia selesai pada pukul 2 pagi tadi.

“Semalam, kita juga telah mengagihkan sebanyak 2,874 set makanan di semua sektor secara pintu ke pintu,” katanya kepada Wilayahku ketika dihubungi hari ini.

Kata Pathmanathan, pihaknya mengganggarkan satu pek makanan asas itu boleh dimakan untuk lima orang dan secara keseluruhan ia boleh dimakan untuk lebih 10,000 penduduk bukan warganegara.

“Makanan tersebut merupakan sumbangan daripada syarikat korporat dan juga Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang disalurkan ke akaun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Pihak DBKL menyediakan makanan itu dan mereka mempunyai kemudahan logistik yang boleh menempatkan bekalan makanan tersebut.

“Pihak JKM pula bertindak sebagai koordinator manakala pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengagihkan bekalan makanan itu secara pintu ke pintu dan mereka dilengkapi dengan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE),” katanya.

BEKALAN makanan diletakkan di depan pintu pagar rumah penduduk sebagai langkah keselamatan. 
ANGGOTA APM mengagihkan makanan kepada penduduk di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Pathmanathan memberitahu, pada bulan Ramadan, pihaknya telah merancang untuk terus mengagihkan set makanan kering kepada penduduk.

“Sekiranya makanan bermasak ia agak sukar kerana dikhuatiri akan basi dan ia memerlukan koordinasi yang lebih terperinci.

“Bekalan barangan makanan kering  boleh bertahan kira-kira empat hingga lima hari dan pihak kami akan menghantar bekalan makanana asas untuk pusingan kedua pada hari Ahad ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas