Berita

Pelajar dilarang pulang ke kampung zon merah, PKPD

DATUK SERI ISMAIL SABRI
- Diterbit 24 April 2020 7:26 AM MYT

PUTRAJAYA – Para pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dilarang pulang ke kampung masing-masing yang berada di zon merah atau lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pelajar yang berada di zon merah ketika kuarantin di kampus turut dilarang pulang ke rumah walaupun berada di zon hijau.

“Jika pelajar terbabit berada di universiti atau menyewa rumah dalam zon merah dan ingin pulang ke zon hijau, itu tidak dibenarkan.

“Begitu juga jika hendak balik ke kediaman dalam kawasan PKPD tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun, kita sudah bincangkan dan mereka boleh balik ke rumah ahli keluarga terdekat seperti abang atau kakak di zon hijau,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri turut menjelaskan semua institusi
pendidikan bukan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kementerian itu bagi penghantaran pulang pelajar mereka ke rumah masing-masing.

“Contohnya UniKL adalah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, jadi kita membenarkan kementerian lain menguruskan untuk membawa pelajar pulang mengikut kementerian masing-masing dengan SOP KPT.

“KPT akan memaklumkan secara lebih lanjut mengenai perkara ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas