Lensa

Patriotik dalam seni pastri

||||||||||
- Diterbit 8 September 2023 5:03 AM MYT

SEORANG usahawan kek mempersembahkan erti kemerdekaan melalui seni pastri hasil air tangannya sebagai simbolik kebanggaan menjadi rakyat Malaysia.

Berkelulusan sebagai seorang akauntan, Rifa Rina Mohd Shapee, 45, yang berasal dari Pulau Pinang telah membuat keputusan tepat apabila melangkah ke bidang perniagaan membuat kek pada 2019 ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa pada tahun itu. Tidak hanya duduk diam, kesempatan itu digunakan untuk menjana pendapatan sejumlah RM10,000 hingga ke RM15,000 sebulan menerusi pelbagai jenis kek yang dijual.

Rifa juga pernah mencuba dalam bidang pembuatan tanah liat atau ‘polymer clay’ pada 2017 namun hasilnya kurang memberangsangkan lantas mencuba nasib dalam bidang pastri yang kemudiannya mendapat sambutan hangat daripada pelanggan.

Sejak itu, tidak ada istilah ‘pandang belakang’ untuk wanita semangat kental ini mengubah haluan hidup daripada seorang akauntan ke pembuat pastri dan kini tempahan yang diterima merangkumi pelbagai jenis kek bercorak termasuk kek kemerdekaan.

Pelbagai jenis, bentuk dan tempahan kek dihasilkan khas untuk pelanggan yang ingin menempah dan antaranya ramai meminta Rifa menghasilkan kek bertemakan Sambutan Hari Kebangsaan dengan harga sekitar RM40 hingga RM50.

Setelah lima tahun berkecimpung dalam bidang ini, beliau yang sangat mementingkan kualiti, kini mempunyai seramai 20 hinga 35 pelanggan seminggu daripada pelbagai bangsa dengan menawarkan harga kek bermula daripada RM25 sehingga RM250 mengikut jenis.

Beliau yang memasang impian untuk membuka kedai pastri sendiri satu hari nanti turut menitipkan sedikit nasihat kepada mereka yang ingin menceburi bidang tersebut iaitu perlu mempunyai minat dan bukanlah hanya mementingkan keuntungan semata-mata supaya apa yang dilakukan terus menuai hasil yang baik dan mampu bertahan hingga ke tahap lebih tinggi.

Beliau yang ditemui lensa Wilayahku turut berharap negara tercinta ini kekal harmoni dan terus saling menghormati antara satu sama lain, bantu-membantu serta bertolak ansur tanpa mengira bangsa dan agama. – WILAYAHKU – SHUAIB AYOB

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas