Berita

#MusaadahCOVID19 ringankan beban asnaf, petugas hadapan

"Saya akan pastikan sumbangan sampai kepada sasaran yang dikehendaki."
BANTUAN makanan tengah hari khusus untuk pekerja barisan hadapan PPUM diedarkan.
- Diterbit 19 Mac 2020 6:57 AM MYT

PUTRAJAYA – Prihatin dengan situasi semasa wabak Covid-19, kerajaan menggerakkan misi #MusaadahCOVID19 sebagai usaha meringankan beban asnaf dan petugas hadapan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, usaha tersebut antaranya menyalurkan bantuan kewangan bulanan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada penerima secara berperingkat mulai hari ini.

“Ia biasanya disalurkan pada 25 hari bulan, melibatkan jumlah keseluruhan RM8.94 juta kepada 22,000 asnaf.

“Usaha ini bertujuan meringankan beban asnaf khususnya untuk mendapatkan barangan keperluan asasi dalam situasi semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zulkifli, sejajar dengan itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui JAWI Food Bank dengan kerjasama Datuk Jawahar Ali, Restoran Ali Maju telah menyumbangkan makanan kepada petugas di barisan hadapan Covid-19 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur tengah hari tadi

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, misi #MusaadahCOVID19 akan diteruskan sehingga minggu hadapan.

“Saya akan pastikan sumbangan sampai kepada sasaran yang dikehendaki. Saya ingin menyeru dan menggesa badan-badan korporat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing untuk turut sama menyumbang kepada rakyat yang memerlukan bantuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas