Berita

Covid-19: Sektor sawit, getah terus operasi

- Diterbit 19 Mac 2020 5:01 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi memberi kelonggaran kepada pengusaha sawit, getah dan perkayuan meneruskan perkhidmatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, kebenaran itu diberi berdasarkan kepada kepentingan semasa selain bagi memastikan bekalan adalah mencukupi.

Jelas beliau, ia juga diputuskan setelah mendapat panduan umum Kabinet yang bermesyuarat pada pagi ini serta pengesahan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sektor yang terlibat membenarkan penuaian buah tandan segar sawit oleh syarikat perladangan dan pekebun kecil; membenarkan pemprosesan buah tandan segar dilaksanakan oleh kilang-kilang sawit serta membenarkan pemprosesan minyak sawit mentah di kilang penapis untuk pengeluaran minyak masak bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan.

“Selain itu, aktiviti penorehan getah bagi tujuan pembekalan bahan mentah untuk penghasilan produk peralatan perubatan seperti sarung tangan dan kateter juga dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Khairuddin, pihaknya juga membenarkan aktiviti bagi sektor perkayuan beroperasi untuk memenuhi kontrak sedia ada yang telah dimeterai.

Justeru tegas beliau, semua pihak yang terlibat di dalam aktiviti yang dinyatakan tersebut hendaklah memastikan segala langkah pencegahan dan pengawalan penularan wabak Covid-19 dipatuhi termasuk meminimakan tenaga kerja serta pergerakan dengan menjarakkan sentuhan fizikal.

“Semua pihak diingatkan sentiasa menjaga kebersihan seperti membasuh tangan dengan sabun atau pencuci tangan (hand sanitiser),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas