Artikel

Megaklinik Zahran beri anugerah kepada 32 panel korporat

NAFIDZ (belakang, tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Megaklinik Zahran pada majlis penyampaian anugerah itu di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.
- Diterbit 8 November 2019 3:08 PM MYT

KUALA LUMPUR – Sebanyak 32 panel korporat menerima anugerah penghargaan daripada Megaklinik Zahran berdasarkan kriteria dan pencapaian cemerlang masing-masing pada tahun 2018 sehingga 2019.

Megaklinik Zahran meraikan kesemua panel tersebut sebagai salah satu usaha mengubah landskap hubungan bersama pelanggan menerusi pendekatan yang berbeza.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Nafidz Razak, Megaklinik Zahran menjadi klinik kesihatan pertama yang menganjurkan majlis anugerah seumpama itu.

“Megaklinik Zahran amat memandang serius dan mengambil berat terhadap setiap inisiatif berkaitan pelanggan.

“Kami berbangga kerana menjadi megaklinik yang pertama menganugerahkan pencapaian kepada pelanggan kami,” katanya pada majlis anugerah tersebut di Hotel Bangi Resort baru-baru ini.

Nafidz berkata, pihaknya juga menaruh kepercayaan bahawa bagi mendepani arus globalisasi termasuk perkembangan klinik yang akan dibuka lebih banyak menerusi program perlesenan jenama klinik ini, kerjasama dua hala amat penting.

“Ia bagi memastikan dan memberikan nilai mutu pada skala terbaik buat perkhidmatan yang disediakan pihak kami kepada masyarakat umum.

“Diharapkan, pemberian anugerah ini menjadi satu dorongan serta motivasi kepada para panel untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dan bekerjasama dengan Megaklinik Zahran secara saksama,” katanya.

Antara syarikat dan panel yang menerima Anugerah Korporat Megaklinik Zahran tersebut ialah Pharmaniaga, PMCare, Health Connect, TNB Nasional, Hitachi, Denso, Telekom, MIMOS, Affin Bank, Nicom Steel dan Pos Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas