Selebriti

Kakak Kastam bergelar penyanyi setelah tular di laman sosial

DARI kiri Zali, Yazid, JM, Athul, Boy dan Pudin.
- Diterbit 13 November 2019 5:11 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI

VIDEO nyanyiannya yang penuh perasaan ketika menyanyikan lagu Jepun Mirae (Kiroro) lengkap dengan pakaian seragam kastam pernah menjadi tular di laman sosial baru-baru ini.

Meninggalkan banyak tanda tanya kepada netizen, rupa-rupanya gadis yang dikenali sebagai Athul atau nama sebenarnya Zainathul Suhada Musa ini sebenarnya merupakan salah seorang anggota band badan beruniform, Tale Of Six Soulmate (TOSS).

Menariknya anggota TOSS kesemuanya sudah bekerjaya tetap dalam Perkhidmatan Awam. Kini mereka bernaung di bawah label Sheikh Qalam Records Sdn. Bhd. dan mempertaruhkan single berjudul Pencipta Rasa hasil sentuhan kreatif Zali selaku ketua kumpulan.

Menurut vokalisnya, Athul, untuk bersaing secara sihat dalam bidang seni, mereka cuba untuk mengetengahkan irama pop alternatif yang lain daripada band yang ada sekarang.

“Saya yakin single ini mampu pergi jauh kerana kekuatan melodi itu sendiri selain penerimaan terbuka setelah ia diperdengarkan kepada rakan-rakan terdekat kami sebelum ia dirakamkan,” ujarnya.

Katanya lagi, jika diamati dari segi melodi yang dihasilkan, mereka memberi penekanan khusus kepada bunyi setiap satu alat muzik yang digunakan.

TOSS dianggotai oleh Athul (vokalis), Boy (keyboard), JM (bass), Pudin (gitar utama), Zali (gitar kedua) dan Yazid (drum). -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas