Berita

Lesen bazar Ramadan akan diberikan kepada semua pemohon – Shahidan

SHAHIDAN (tengah) beramah mesra dengan peniaga di Agrobazar dan Karnival Food Truck Putrajaya.
- Diterbit 8 Februari 2022 11:39 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan membuka peluang sebaiknya kepada peniaga di Wilayah Persekutuan yang ingin berniaga bazar pada bulan Ramadan yang akan tiba bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab menjual lesen kepada pihak ketiga.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, peluang tersebut akan diberikan kepada mereka yang serius untuk berniaga sekali gus dapat menggerakkan aktiviti ekonomi pasca COVID-19.

“Kita akan membuka seluas-luasnya kepada mereka yang ingin berniaga dan jika kita berikan mereka lesen maka mereka kena berniaga dan tak boleh bagi pada orang lain untuk berniaga di situ,” ujar beliau sejurus program Walkabout Agrobazar dan Karnival Food Truck Putrajaya hari ini.

Tegas beliau, tindakan akan dikenakan kepada mereka yang menjual lesen bazar tersebut untuk meraih keuntungan.

“Pemikiran yang boleh menjual lesen tersebut tiada lagi. Sesiapa yang buat sedemikian kita akan ambil tindakan. Kita nak orang yang betul-betul ingin berniaga sahaja,” ujar beliau.

Menyentuh tentang prosedur operasi standard (SOP), KWP sentiasa mengikuti perkembangan kes COVID-19 dari we masa ke semasa untuk mengekang penularan wabak tersebut.

“Jaga diri, jaga SOP dan elakkan perjumpaan dalam kelompok yang besar bagi mengelakkan jangkitan,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas