Selera

Kuih tradisional pilihan berbuka puasa

- Diterbit 12 Mac 2024 2:52 PM MYT

TIDAK lengkap rasanya jika tiada kuih-muih pemanis mulut sebagai menu hidangan tatkala berbuka puasa mahupun sebagai alas perut sebelum menunaikan solat terawih.

Setiap tahun apabila tibanya bulan Ramadan, ada sahaja aneka kuih viral yang muncul namun kuih-muih klasik tetap menjadi pilihan hati dan kekal pujaan zaman-berzaman.

Menurut Ketua Chef Hotel Pulse Grande Putrajaya, Hairy Ismail A Rahman, 44, menjelang Ramadan kuih tradisional pastinya dicari sebagai pilihan berbuka kerana keenakannya.

“Walaupun di luar sana ada pelbagai jenis dessert yang diperkenalkan namun di sini kita masih ketengahkan kuih-kuih tradisional seperti kuih lopes, onde-onde, ketayap, karipap dan juga koci.

“Kuih tradisional ini antara yang wajib kerana kita tahu ia mempunyai peminat yang tersendiri,” ujarnya kebanyakan kuih tradisional tidak diubah resipinya kerana ingin mengekalkan tradisi serta nostalgianya.

Namun, dalam masa yang sama, Cef Hairy turut tidak melupakan golongan yang sedang berdiet dengan mempersembahkan kuih-muih yang diolah menggunakan gula Melaka yang ternyata tidak mengandungi kalori yang tinggi. Jom kenali kuih-muih yang menjadi rebutan!

Kuih Lopes

Kuih Lopes adalah sejenis kuih yang dibuat daripada tepung pulut yang lembut dan manis. Ia biasanya dilengkapi dengan sajian kuah gula melaka yang kental dan aroma santan yang harum. Kombinasi rasa manis gula melaka, kelembutan pulut dan santan adalah tanda khas Kuih Lopes. Setelah sejuk, ia dipotong dan digaul dengan kelapa parut kering.

Setiap suapannya adalah sepotong nikmat yang memikat, menghadirkan cita rasa tradisional yang begitu akrab dan mengasyikkan. Ia menggunakan bahan seperti beras pulut, daun pandan, gula melaka dan daun pisang. Jadi, mari nikmati kelazatan kuih lopes yang mengundang selera dan nostalgia dalam setiap gigitan. Selamat mencuba!

Onde-onde

Sejenis kuih tradisional yang boleh didapati di negara-negara Asia Tenggara seperti Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Ia diperbuat daripada bebola diuli dari tepung pulut, tepung beras, garam, air dan daun pandan direbus sebelum disaluti kelapa parut.

Dohnya diperbuat daripada tepung pulut yang adakalanya dicampur dengan ubi. Doh ini diwarnakan dengan air perahan daun pandan wangi atau suji.

Kuih koci

Kuih koci merupakan sejenis kuih tradisional yang popular di Indonesia, Malaysia dan Singapura. Di Malaysia ia popular terutama di kawasan Pantai Timur iaitu di Kelantan dan Terengganu. Kuih ini diperbuat daripada tepung pulut dan mempunyai inti kelapa manis bercampur gula nisan (gula Melaka) di dalamnya. Ia kemudiannya disalut dengan santan sebelum dibalut dengan daun pisang dan dihidangkan.

Doh kuih koci boleh dipelbagaikan contohnya kuih
koci labu yang menggunakan buah labu kuning dan ada juga kuih koci pulut hitam yang menggunakan tepung beras pulut hitam. Kuih koci memiliki tekstur yang lembut dan lembik, rasanya manis dan berlemak.

Karipap

Karipap atau epok-epok merupakan sejenis makanan yang popular di Malaysia yang terdapat dalam pelbagai perisa bergantung kepada inti di dalamnya. Bahan utama inti karipap ialah daging dan kentang. Ubi kentang sering digunakan sebagai inti karipap, adakalanya inti ubi keledek juga digunakan. Inti tersebut menggunakan serbuk kari sebagai bahan perasa kadang-kadang ada yang menggemari inti yang menggunakan lada hitam.

Ada yang kata kulit karipap kampung ini dia ‘berjerawat’, itulah yang membuatkannya menjadi lebih sedap. Kuih karipap juga selalunya menjadi pilihan menu dalam mesyuarat. Biasanya ia disertakan dengan kopi dan teh panas. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas