Fokus

Kebun bandar berkonsep Kemelayuan

TANAMAN herba yang ditanam menjadikan landskap kebun bandar lebih cantik dan sesuai dengan imej Kemelayuan untuk tarikan pelancong. TANAMAN herba yang ditanam menjadikan landskap kebun bandar lebih cantik dan sesuai dengan imej Kemelayuan untuk tarikan pelancong.
- Diterbit 12 Julai 2020 6:30 AM MYT

UMUM mengetahui, Wilayah Persekutuan tidak mempunyai tanah pertanian yang berskala besar untuk dijadikan ladang atau kebun sama ada buah-buahan, sayuran mahupun tanaman herba bagi tujuan komersial.

Namun, kreativiti penduduknya berjaya mentransformasi tanah sekangkang kera kepada satu kawasan pertanian yang dikenali sebagai kebun bandar walaupun mempunyai bilangan tanaman yang terhad.

Malah, keupayaan tersebut turut memberi pulangan besar kepada pengusahanya termasuk dijadikan lokasi tumpuan pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

ROTINA

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara (JLN), Rotina Mohd Daik selepas agensinya menjadi perancang utama dalam memastikan kebun bandar mempunyai identiti tersendiri di samping indah dan selari dengan imej Kemelayuan.

“JLN menbantu dari segi menyediakan rekabentuk aspek landskap dan tanaman bagi kawasan kebun bandar supaya selari dengan imej Kemelayuan serta didaftarkan di bawah MOTAC sebagai salah satu daripada pusat tumpuan pelancongan.

“Pendekatan lain yang boleh digunakan ialah dengan mendaftar kebun bandar yang berjaya dan cantik ini di dalam talian media sosial,” jelasnya yang melihat warga kota juga berminat dalam bidang pertanian tetapi mempunyai kekangan dari segi tanah.

Menurut Rotina, walaupun kekurangan tanah pertanian, namun warga kota tetap menerapkan minat dalam pertanian dan penanaman herba sekali gus menjadikan kebun bandar mereka berkonsepkan Kemelayuan.

“Untuk memastikan kebun bandar terlihat Kemelayuan, reka bentuk perlu berasaskan prinsip landskap yang menekankan aspek etnobotani, konsep dusun buah-buahan atau berteraskan elemen tradisional,” ujar beliau.

Namun, ujarnya, pokok buah-buahan kebanyakannya adalah jenis berkayu dan tidak digalakkan ditanam di dalam kawasan perbandaran oleh itu, tanaman yang disarankan mestilah jangka pendek, pokok herba, sayuran atau pokok yang digunakan dalam kehidupan harian seperti cili, daun bawang, pudina, serai, halia, kunyit dan sawi.

Menceritakan tentang kawasan kebun bandar yang diselia JLN, jelas beliau, JLN merupakan agensi pusat yang menggariskan dasar dan hala tuju pembangunan landskap negara di mana kebun bandar merupakan salah satu program yang menterjemahkan Dasar Landskap Negara dan menekankan teras Membudayakan Kecintaan Terhadap Landskap.

KEBUN BANDAR tampak lebih indah dan santai dengan tanaman herba.

“Kebun bandar adalah cabang kepada program ‘Community Garderning’ yang dipelopori JLN. Terdapat banyak agensi kerajaan dan swasta yang membantu di dalam pelaksanaan ini antaranya Bahagian Pertanian Bandar, Jabatan Pertanian dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ia bermaksud kita tidak menyelia mana-mana kawasan kebun bandar secara lansung tetapi hanya melakukan pemantauan pelaksanaan dasar.

“Selain daripada itu JLN juga terlibat di dalam pelaksanaan program Rakan Taman di dalam usaha untuk meningkatkan kecintaan masyarakat terhadap landskap,” ujarnya.

Walaubagaimanapun, jelas Rotina, bagi konsep kebun bandar yang bersifat Kemelayuan, pengusaha disarankan memilih pokok herba yang digunakan dalam masakan Melayu selain penekanan terhadap rekabentuk seperti pergola dan trelis yang berimejkan Kemelayuan.

Mengulas lanjut, ujar beliau, sehingga kini, hanya dua lokasi sahaja yang didaftar di bawah MOTAC iaitu Kebun Bandar Perumahan Awam (PA) Seri Perlis 2, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur dan Program Kebun Komuniti Apartment Garnet, Puchong, Selangor.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas