Berita

KASA diminta untuk bentang undang-undang alam sekitar kepada kabinet Rabu ini

- Diterbit 5 Jun 2022 11:22 AM MYT

KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA)telah diarah untuk membentangkan perkembangan terkini berhubung penggubalan akta berkaitan alam sekitar, pada mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara ini sudah lama membincangkan mengenai penggubalan akta berkaitan alam sekitar, namun sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang maklum balas terperinci mengenainya.

“Saya akan tekankan supaya undang-undang alam sekitar ini perlu disegerakan pada mesyuarat Kabinet, Rabu ini, kerana kita tahu banyak pencerobohan dan sebagainya yang berlaku.

“Di sini (Taman Tugu Negara) contohnya, difahamkan adalah tempat pembuangan sampah haram. Sepatutnya kawasan hutan hujan ini dijaga dengan baik tetapi dijadikan tempat pembuangan sampah. Perkara seperti inilah yang memerlukan undang-undang khas supaya tiada pelanggaran berkaitan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menyatakan komitmen Malaysia untuk memenuhi visi mencapai tahap karbon sifar menjelang 2050 termasuk menggubal undang-undang berkaitan perubahan iklim, seperti dinyatakan pada Persidangan Nikkei di Jepun baru-baru ini.

“Malaysia akan bekerjasama dengan negara- negara di rantau Asia yang berkongsi visi tersebut menerusi ‘Asia Zero Emission Community‘.

“Visi ini selari dengan komitmen kita semasa Persidangan Perubahan Iklim 21 (Climate Change Conference 21) di Paris, Perancis pada tahun 2015 bertujuan membendung pemanasan global dengan mengekalkan purata peningkatan suhu global abad ini di bawah dua darjah celcius,” katanya. –WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas