Berita

Jihad fisabilillah Alyah

- Diterbit 22 Disember 2023 8:20 AM MYT

PELBAGAI usaha dilakukan dalam menterjemahkan bantahan terhadap tindakan zalim rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin antaranya bersatu hati memboikot barangan dan jenama keluaran Israel.

Tidak terkecuali melakukan perkara yang sama, penyanyi Datin Alyah merupakan salah seorang selebriti yang bukan sahaja bertindak memboikot dari segi barangan bahkan aktif berkongsi apa sahaja isu Palestin di laman sosial.

“Langkah yang diambil terutamanya tidak membeli produk Israel atau francais yang menyokong rejim Zionis sangat berkesan, ia mampu melumpuhkan ekonomi mereka sekali gus meranapkan sistem ketenteraan.

“Selagi kita hidup walaupun usaha atau jihad yang kita lakukan hanya sebesar zarah, teruskanlah kerana itu membantu mereka. Jika rakyat Palestin berjihad di sana, kita di Malaysia cuba dengan cara yang kita mampu,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Alyah berkata dia turut kecewa apabila segelintir masyarakat memperlekehkan usaha memboikot produk atau jenama antarabangsa sebagai solidariti untuk Palestin.

“Bagi mereka yang tidak mahu boikot. Itu hak dan pilihan anda, tapi janganlah memperlekehkan usaha mereka yang ingin sama-sama bantu saudara kita di Palestin. Lebih diam daripada nak komen atau perlekeh.

“Isu Palestin ini bukan sahaja melibatkan soal agama, tetapi juga aspek kemanusiaan apabila rakyat dizalimi dan diserang bertubi-tubi setelah sekian lama. Ia bukanlah satu paksaan.

Terpulang kepada diri masing-masing. Macam saya, sudah tentu saya cuba elak beli produk dari Israel.

“Bayangkan sebelum ini, saya selalu makan fast food yang merupakan francais Israel, jadi memang rasa rindu nak makan sebab dah terbiasa dalam kehidupan kita.

“Namun saya jadi marah, sebak dan geram setiap kali tengok video saudara-saudara Islam kita di Palestin dibunuh dengan kejam. Saya tak boleh tahan apabila kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa turut dibunuh. Apa salah mereka?” luahnya.

Tambahnya isu ketara kesan daripada boikot beramai-ramai adalah restoran makanan segera terkenal mengalami kekurangan pelanggan. Begitu juga jualan produk-produk yang dikaitkan dengan Yahudi tidak terjual di Malaysia.

“Biarlah orang nak cakap boikot tak berkesan atau apa sahaja tetapi saya yakin jika kita sepakat, pasti memberi kesan kepada mereka. Lagipun masih banyak produk atau barangan lain yang boleh dibeli. Malah, ada yang lebih berkualiti,” katanya kepada Wilayahku.

Dalam masa yang sama, jika diberi peluang dan mampu untuk berjihad di Palestin, dia mahu turut serta untuk bersama-­sama berjuang membantu sebaik mungkin sekalipun berdepan dengan situasi bahaya.

“Mungkin kalau tak jadi tentera pun, saya bolah jadi paramedik merawat orang awam yang cedera. Kita sedia maklum keadaan hospital yang penuh, jadi saya boleh bantu kurangkan beban mereka,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas