Berita

Puak Zionis semakin terdesak tawan Gaza

- Diterbit 22 Disember 2023 8:30 AM MYT

SITUASI yang meruncing di bumi Gaza akibat kekejaman rejim Zionis mendapat perhatian seluruh dunia. Rata-rata majoriti penduduk dunia bersatu melawan kekejaman Israel ke atas Palestin meminta agar pertumpahan darah ini dihentikan serta-merta.

Malah, angka korban juga semakin hari semakin bertambah menjadikan ia antara keganasan terburuk dalam sejarah.

Aktivis Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata situasi di Gaza semakin lama menjadi semakin teruk.

MUHAMMAD NADHIR

“Rejim Zionis cuba melakukan apa yang mereka tidak berjaya lakukan sebelum ini, di mana mereka cuba mengosongkan Gaza dan mengambil semula kuasa di kawasan tersebut,” katanya kepada Wilayahku.

Muhammad Nadir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) menjelaskan, hampir kesemua kawasan Gaza telah dibedil serta dimusnahkan oleh tentera Zionis Israel yang tidak berperikemanusiaan.

“Tentera Zionis menyerang di setiap genap kawasan Gaza, ramai orang tidak bersalah menjadi mangsa.

“Ia satu perkara yang sangat tidak wajar, wanita, orang tua, malah kanak-kanak serta bayi yang tidak bersalah turut menjadi mangsa pembunuhan kejam ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan rakyat Malaysia sangat prihatin terhadap situasi yang berlaku di negara Islam tersebut dan dalam masa yang sama sudah melakukan yang terbaik bagi membantu rakyat Palestin.

“Alhamdulillah kita di Malaysia bukan sahaja rakyat malah Raja dan juga kerajaan turut bersama-sama di dalam usaha menentang kekejaman rejim Zionis ini melalui sumbangan dan apa sahaja bentuk bantuan yang boleh disalurkan.

“Malah saya percaya kita mampu untuk membantu dengan lebih lagi sekali gus berjihad bagi menentang kezaliman yang seakan tiada berpenghujung ini,” ujarnya lagi.

Tambahnya, penekanan juga harus diberikan supaya isu Palestin terus mendapat perhatian tidak kira di segenap lapisan masyarakat meliputi pelbagai usia agar mereka arif tentang peristiwa menyayat hati yang sedang berlaku saat ini.

“Sebagai contoh, mungkin boleh tambah atau menyerapkan isu Gaza ini di dalam pendidikan kokurikulum, mewujudkan lebih banyak sekolah-sekolah ataupun kelab-kelab yang menyokong Palestin atau pembela Al-Aqsa di sekolah-sekolah atau universiti.

“Ia dilakukan agar ia tidak menjadi sokongan empati dan semangat semata-mata tetapi berdasarkan kefahaman untuk kita membela bangsa yang sedang dijajah. Salah satu cara untuk memupuk empati adalah bermula dalam kalangan pelajar sekolah kerana pemikiran mereka masih muda, senang dibentuk melalui sistem pendidikan,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Nadir berkata, situasi di Gaza berkemungkinan akan berlanjutan buat seketika namun jelas terbukti bahawa majoriti negara-negara sudah tidak bersama Israel ketika ini.

“Situasi di Palestin mungkin akan berlanjutan lagi berdasarkan apa yang sedang mereka lakukan. Namun, tekanan daripada masyarakat antarabangsa dan juga negara-negara luar khususnya memainkan peranan penting untuk mendesak agar dihentikan peperangan ini.

“Dapat dilihat, majoriti negara-negara kini tidak lagi bersama Israel. Jadi, kita mesti bersatu hati bersolidariti bersama Palestin untuk terus menggalakkan rasa simpati, hormat dan juga menyemai nilai-nilai kemanusiaan yang lain,” jelasnya.

Sementara itu, Malaysia muncul antara negara yang lantang bersuara dalam menyuarakan sokongan terhadap situasi yang tidak berperikemanusiaan tersebut melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pendirian Malaysia yang lantang, keras dan konsisten dalam mengutuk kekejaman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin terus-menerus disuarakan di pelbagai peringkat termasuklah usaha dalam gesaannya kepada para pemimpin dunia untuk menamatkan peperangan tersebut.

Terbaharu, Malaysia menyuarakan bantahan tegas terhadap sikap Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan kuasa veto di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menolak gencatan senjata kemanusiaan segera antara rejim ganas Israel dan Palestin.

“Adalah menjadi pelik dan di luar kewarasan kemanusiaan apabila ada pihak yang mendukung dan bungkam terkait pembantaian ke atas kanak-kanak dan wanita tidak bersalah serta warga awam.

“Sayugia, ini mesti dihentikan serta-merta dan sangat dikesali kerana ia jelas tidak mempedulikan hak kemanusiaan dan terus menerus membenarkan Israel membuat pembunuhan secara zalim terhadap rakyat Palestin di Gaza,” kata beliau menerusi ciapan di laman X.

Sebelum ini, Anwar pernah menegaskan Malaysia akan memberi sokongan penuh dan berpendirian teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin malah akan meneruskan perjuangan dalam mendapatkan hak, perlindungan serta bantuan kemanusiaan menerusi beberapa perbincangan bersama-sama negara-negara yang sependapat untuk membantu masyarakat di Gaza. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas