Berita

Kaka rela hilang dunia demi Palestin

- Diterbit 22 Disember 2023 8:10 AM MYT

DUA minggu lalu industri hiburan tanah air kecoh apabila penyanyi Kaka Azraff ditamatkan kontrak sebagai artis rakaman Warner Music Malaysia gara-gara kelantangan memperjuangkan nasib Palestin di media sosial.

Namun perkara tersebut tidak melunturkan semangatnya kerana dia yakin dan teguh dengan pendirian mempertahankan hak rakyat Palestin yang kini diperlakukan zalim oleh tentera Zionis Israel.

“Rakyat Palestin berhadapan risiko ditembak, dibom, dibunuh setiap detik. Anak-anak dan ahli keluarga lain entah ke mana. Malah mereka dihidangkan dengan berita kematian setiap hari.

“Ditambah pula dengan ujian kelaparan, sakit, ada yang nak bersalin dan macam-macam lagi. Kalau tempat tinggal, tak payah cakaplah memang dah hancur lebur diserang tentera Israel yang zalim dan kejam.

“Sementara saya hanya diduga dengan penamatan kontrak sebagai artis rakaman. Terlalu jauh tahap ujian mereka dengan saya. Jadi, saya tidak bersedih dan kecewa kerana rezeki itu datangnya daripada Allah, bukannya manusia,” katanya kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut, dia kini sedang menuntut alasan kukuh daripada pihak tersebut kenapa kontraknya ditamatkan memandangkan syarikat rakaman menyatakan pendirian mereka bersama Palestin.

“Kalau alasan bahasa kasar, saudara kita di sana lagi teruk dizalimi. Kita tak boleh berdiam diri. Melihat video-video (dalam media sosial) mereka dibunuh dengan kejam, itu membuatkan semangat saya berkobar-kobar untuk terus membela nasib mereka atas kemampuan yang ada.

“Saya yakin berada di pihak yang benar. Ramai yang menyokong tindakan saya. Setakat ini, tiada show yang dibatalkan. Alhamdulillah. Saya tengok perkara ini dari sudut positif.

“Dari dulu saya fikir positif sahaja, sebab sedar apa yang dilakukan ini adalah untuk saudara-saudara kita yang berada di Palestin. Jadi, kalau ia mendatangkan kesusahan sedikit, ini adalah jihad kecil saya dan tiada penyesalan.

“Ini jalan yang saya pilih dan tidak akan berhenti, ia adalah permulaan untuk melangkah dengan kaki sendiri dan akan terus menyebarkan perkara positif,” ujarnya lagi.

Tambah Kaka, dia tidak berasa kehilangan kerana semangat rakyat Palestin sentiasa menguatkannya sementelah kaum keluarga juga tidak putus menyokong dan bersama-sama dengannya.

“Ibu saudara saya, Ella pun turut menitipkan kata-kata semangat. Saya rasa cukup rasa bertuah dikelilingi insan tersayang. Sokongan mereka juga rezeki tidak ternilai yang Allah kurniakan,” ujarnya.

Terdahulu, Kaka ditamatkan kontrak oleh syarikat rakamannya Warner Music Malaysia gara-gara kelantangan bersuara hingga komen yang dilayang dipetik akaun propaganda Israel dan viral.

Ia bermula apabila dia sekadar membalas hantaran dimuat naik pempengaruh dan pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic atas krisis Palestin-Israel melalui mesej langsung (DM) dan menafikan dakwaan konon menyebar ucapan kebencian (hate speech). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas