Artikel

Islam bukan sekadar doa, solat

Gambar hiasan
- Diterbit 13 Mac 2020 7:19 AM MYT

Dunia Islam kini pada umumnya telah dikucarkacirkan oleh rasa ‘ego centric’ yang melampau.

Masing-masing hanya mementingkan diri sendiri berdasarkan kepentingan daerah, ekonomi, politik, etnik dan sebagainya.

Dasar polarisasi ini tidak hanya berlaku dalam dunia Islam secara menyeluruh, malah dalam sebuah negara bangsa sendiri yang mengakibatkan perpecahan dan mengundang konflik dalam masyarakat Islam setempat.

Terdapat para penyelidik menyatakan bahawa anak-anak Islam mungkin berada di dalam sebuah keluarga yang mendidiknya dengan fahaman agama yang silap dan mengelirukan, maka anak-anak itu akan membesar dalam kefahaman agama yang salah.

Pandangan lain mengemukakan idea tentang ibu bapa yang telah merasa puas hati dengan pendidikan agama anak-anaknya dengan asas fardu ain dan ibadat khusus semata-mata.

Mereka akan merasa puas hati apabila anak-anak itu telah memenuhi cara hidup Islam dengan membaca doa dan bersolat.

Mereka mungkin hanya memadai dengan asas ritual ini tanpa memperdulikan sama ada anak-anak mereka mempunyai pemikiran sivik, tanggungjawab sosial, mengamalkan ciri-ciri akhlak dan tingkah laku yang Islamik dan sebagainya.

Sememangnya diakui bahawa amalan fardu ain dan ibadat khusus merupakan asas penting dalam kehidupan seorang Muslim.

Namun sekiranya ibu bapa sendiri merasakan hal itu sahaja sebagai pendidikan Islamnya kepada kanak-kanak, maka mereka hanya akan berpuas hati setakat itu sahaja.

Mereka tidak merasakan perlu supaya anak-anak dididik untuk menjadi seorang manusia yang dapat berfikir dan bersikap sebagai Muslim yang holistik dalam masyarakat global dan bertamadun.

Ibu bapa dan guru-guru mungkin tidak lagi mementingkan pendidikan sivik anak-anak, tanggungjawab sosial dan moral, kewajipan dan akauntabilitinya sebagai seorang Muslim.

Maka kanak-kanak itu akan membesar sebagai seorang insan yang hanya memahami pertaliannya dengan Tuhan dalam bentuk ritual dan dosa pahala amal ibadatnya, tanpa mempunyai pertalian sesama manusia dan masyarakat seluruhnya.

Kanak-kanak ini akan menjadi manusia yang hanya mementingkan dirinya sendiri, tanpa menyedari dan menghayati nilai-nilai hidup bermasyarakat dan kemudiannya bernegara.

Kita tidak mahu melihat masyarakat Islam yang bersifat ‘keakuan’ melampau dengan sifat dan sikap ‘selfish’ semata-mata.

Dalam konteks keegoan ini, maka anggota masyarakat Islam hanya memahami dosa pahalanya dalam hubungannya denga Allah semata-mata, tanpa menyedari dosa pahalanya dalam hubungan dan kehidupan bermasyarakatnya di dalam kehidupannya sehari-hari.

Pendidikan fardu ain dan ritualnya seolah-olah tidak mempunyai hubungan dengan tanggungjawabnya sesama manusia dan anggota keluarga serta masyarakat umumnya, sehingga segala sifat baik sesama manusia tidak lagi menjadi amalannya.

Pendidikan agama amat mementingkan nilai moral dan akhlak yang baik, kehidupan masyarakat jemaah, saling tolong menolong, bertanggung jawab terhadap orang lain dan sering hormat menghormat atau berdisiplin dalam segala perilaku dan cara hidupnya sebagai anggota masyarakat, dan kemudiannya sebagai warga negara dan anggota satu ummah yang berperadaban.

Tumpuan Pendidikan Islam ialah menanamkan keimanan yang mantap, menunaikan ritual dan ibadat yang sempurna, dan berakhlak mulia untuk diri sendiri, keluarga serta masyarakat umum.

Ketiga-tiga perkara ini hendaklah digabungkan dalam kehidupan dunia dan akhirat anak-anak Islam itu sendiri sebagai mekanisme yang penting dalam kehidupannya.

Datuk Dr. Ismail Ibrahim merupakan bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan bekas Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas