Berita

I-Hya Ramadan, beri peluang bersedekah taja juadah buka puasa

- Diterbit 16 April 2020 10:35 AM MYT

PUTRAJAYA – Bagi meneruskan tradisi dan ibadah memberikan sedekah juadah berbuka puasa kepada mereka yang memerlukan, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menganjurkan program I-Hya Ramadan yang akan dilancarkan pada 22 April ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, melalui program tersebut, syarikat korporat atau individu boleh memberikan sumbangan melalui YWP dan menentukan golongan sasar untuk menerima tajaan juadah berbuka puasa.

“Lazimnya bila bulan Ramadan ramai nak melakukan ibadah bersedekah, ibadah jamu orang makan dan adakan majlis iftar dan program lain dalam mengambil peluang perbanyakkan ibadah atau dipanggil Ihya Ramadan

“Jadi untuk sesuaikan dengan keadaan tidak harus ada majlis-majlis berbuka puasa, tidak bermakna kita di Wilayah Persekutuan tidak berpeluang untuk melakukan ibadah menjamu anak-anak yatim, memberi peluang kawan-kawan buka puasa, jiran tetangga atau sumbangan kepada orang yang memerlukan bantuan dengan menaja juadah buka puasa,” katanya dalam sesi Live melalui laman Facebooknya hari ini.

Sesi itu turut disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan dan Wilayahku.

Annuar yang juga Pengerusi YWP berkata, melalui program I-Hya Ramadan, pihak YWP akan menyenaraikan menu berbuka puasa pada kadar harga RM10 dengan tempahan minimum seramai 20 orang atau nilai sumbangan RM200.

“Keduanya, sumbangan pakej makanan, pilih makanan apa dan pilih kepada siapa hendak beri sama ada pelajar tahfiz, gelandangan, murid sekolah atau ahli kariah masjid.

“Ketiga, penyumbang menyenaraikan siapa yang dipilih untuk menerima sumbangan, berikan nama dan alamat, kemudian kita akan hantar,” katanya.

Annuar berkata, bagi tujuan tersebut, YWP akan bekerjasama dengan panel syarikat katering untuk membolehkan makanan dihantar kepada mereka dipilih oleh pihak penyumbang.

Katanya, pembayaran boleh dibuat melalui kad kredit, pemindahan wang melalui perbankan elektronik atau e-wallet dengan minimum 20 pek makanan atau RM200.

Jelasnya, tempahan akan mula dibuka pada 22 April ini di laman web YWP.

“Ini membuka peluang kepada kita semua untuk meneruskan sumbangan, berbeza sedikit berbanding tahun-tahun sebelum ini, kita panggil orang berbuka puasa, masjid panggil orang buka puasa atau di pejabat, sesetengahnya pergi ke hotel.

“Sekarang buat secara dalam talian dengan memberikan amanah kepada YWP untuk menguruskan, Insya-Allah pahala sama sahaja,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas