Berita

Hartanah di bawah MAS dilindungi dengan sekatan

PEMBANGUNAN Kampung Baru dilindungi dengan sekatan selaras dengan Akta 733
- Diterbit 15 Mac 2024 10:35 AM MYT

SETIAP rancangan pembangunan di Kampung Baru akan melibatkan penyertaan bersama pemilik tanah dan pihak berkepentingan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Jelas beliau, pemilikan hartanah di Kampung Baru ini adalah di bawah kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) dan ia dilindungi dengan sekatan kepentingan selaras dengan akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) 2011 iaitu Akta 733.

“Ia bertujuan untuk melindungi, memeliharan dan memulihara kepentingan orang Melayu dan Kampung Baru akan dipromosikan sebagai bandar Melayu di dalam Kuala Lumpur.

“Selaras dengan akta ini tadi visi Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040, Kampung Baru sebagai pusat perdagangan dan penempatan yang inklusif di Kuala Lumpur,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang bertanya adakah kerajaan mempunyai cadangan untuk menjadikan Kampung Baru di Kuala Lumpur digazetkan sebagai tapak warisan UNESCO.

Tambah Zaliha, kerajaan turut memberikan penekanan terhadap pembangunan yang berupaya meningkatkan sosio ekonomi bersama supaya ia dimiliki dan berdaya huni disamping mengekalkan nilai persekitaran tempatan di bandaraya Kuala Lumpur

Menurut Zaliha, kerajaan juga merancang untuk menaiktaraf prasarana di kawasan itu dan telah mewujudkan lot-lot tertentu untuk pembangunan tertentu untuk tarikan pelancong tempatan dan asing ke Kampung Baru.

“Contohnya di Jalan Raja Alang, kita akan jadikannya sebagai Kampung Baru Shopping Street yang bertujuan untuk aktiviti perniagaan hasil tempatan dan tradisional orang Melayu seperti barangan seni, kraftangan dan barangan tradisional Melayu dan ini ini seperti juga cenderamata.

“Begitu juga Jalan Raja Muda Musa, yang ini kita jadikan sebagai Kampung Baru Food Heaven dan sebenarnya banyak lagi perancangan yang akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau juga menyeru kepada semua pihak untuk turun sendiri ke Kampung Baru untuk melihat sendiri bagaimana kerajaan cuba mengekalkan nilai-nilai dan tradisi Melayu di sana.

Dalam pada itu, Zaliha akan menemui sendiri baki 34 buah keluarga yang masih menghuni di Flat PKNS yang turut terlibat dalam projek pembangunan semula di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru.

Ujarnya, keseluruhan kawasan itu melibatkan 328 buah unit dan mengikut data sudah lebih 75 peratus yang telah bersetuju  untuk membangunkan kawasan itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas