Artikel

Dilema kenderaan lama di Wilayah Persekutuan

Gambar hiasan
- Diterbit 2 November 2023 11:45 PM MYT

JUMLAH kenderaan berdaftar di Wilayah Persekutuan, meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ialah 6,320,329, angka tertinggi di seluruh negara. Ini diikuti oleh Johor Bahru sebanyak 3,611,611. Kenderaan merangkumi motosikal.

Data ini tidak menghairankan memandangkan Kuala Lumpur ialah ibu kota serta pusat ekonomi dan kewangan negara. Ia menjadi tumpuan rakyat dari seluruh pelosok negara untuk mencari rezeki.

Putrajaya pula sebagai Pusat Pentadbiran Persekutuan menjadi ‘rumah’ ramai kakitangan kerajaan yang tinggal di kuarters kerajaan atau rumah persendirian. Kerana itu Adi boleh faham jika banyak kenderaan di Putrajaya.

Kebanyakan mereka yang tinggal di Kuala Lumpur dan Putrajaya memiliki kenderaan sendiri, sekurang-kurangnya motosikal, bagi memudahkan urusan pergi balik ke tempat kerja atau apa juga urusan lain.

Menurut data, jumlah kenderaan berdaftar di seluruh negara adalah dalam lingkungan 30 juta. Daripada jumlah ini separuh atau 15 juta adalah motosikal. Ini menggambarkan motosikal tetap menjadi mode pengangkutan penting.

Bagi yang memiliki kenderaan, ingin Adi tanya berapa usia kenderaan anda? Soalan ini tidak berkaitan bagi pemilik kenderaan baharu. Tetapi jika kenderaan anda sudah melewati atau 10 atau 15 tahun, malah 20 tahun, masihkah kenderaan anda berada dalam keadaan baik?

Mungkin ia masih boleh bergerak meneruskan bakti kepada pemiliknya. Tetapi adakah ia benar-benar ‘road worthy’ atau sesuai berada di jalan raya serta selamat digunakan?

Adi timbulkan isu ini kerana menurut pemerhatian, masih banyak kenderaan yang sudah berusia bergerak di jalan-jalan di bandar raya. Melihat keadaan fizikal kenderaan, Adi nampak sudah uzur, badan berkarat atau terguris di sana sini.

Namun kenderaan seperti ini masih tetap ada di jalan raya selagi boleh bergerak. Tetapi pergerakannya tentu tidak dapat menyamai kenderaan baharu. Ibarat orang yang sudah berusia, pergerakan perlahan dan terhenti-henti apabila berjalan.

Adanya kenderaan seperti ini di ibu kota atau tempat lain kerana Malaysia belum ada undang-undang ‘hayat akhir’ atau ‘tamat tempoh’ kenderaan. Tiada peraturan setelah mencapai umur tertentu yang ditetapkan, kenderaan tidak lagi dibenarkan di jalan raya dan dilupuskan.

Pelupusan kenderaan sudah dilaksanakan di negara-negara maju tetapi di Malaysia belum lagi. Seperti dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Malaysia belum bersedia mengadakan undang-undang sedemikian.

Pelbagai faktor perlu diteliti jika hendak dilaksanakan, dengan mengambil kira kepentingan dan faktor sosioekonomi rakyat. Sebarang peraturan berkenaan isu tersebut mesti mengambil pendekatan menyeluruh agar tidak menyusahkan rakyat dan menjejaskan kedudukan kewangan mereka.

Pertimbangan ini perlu diambil kira walaupun disedari kenderaan lama banyak menyumbang kepada pelepasan karbon sedangkan Malaysia mahu mengurangkannya. Kuala Lumpur sendiri menyasarkan menjadi bandar raya tiada karbon atau carbon free menjelang tahun 2050.

Ramai yang membeli kenderaan, baik kereta atau motosikal, membelinya sekali sepanjang hidup. Kenderaan ini akan digunakan sehingga bertahun-tahun, bukan menukar kenderaan setiap beberapa tahun lantaran demi menjimatkan perbelanjaan.

Kerana itu mereka menjaga kenderaan dengan baik agar sentiasa cantik dan prestasi baik. Namun begitu, kerap kali proses ‘guna dan susut’ datang sendiri secara perlahan-lahan yang mengakibatkan kenderaan lama tidak dapat bertahan.

Kerana usia, kenderaan lama kerap rosak. Proses membaiki perlu perbelanjaan tinggi, maklum barang lama. Selalu pula bila satu kerosakan berlaku, kerosakan lain muncul. Semakin banyak wang diperlukan untuk merawat barang lama.

Dalam keadaan ini kenderaan lama dibiarkan terus mati. Sayangnya ia tidak ‘disemadikan’ dengan sempurna. Adi sendiri melihat kereta yang sudah menjadi besi buruk tersadai ditinggalkan di bahu jalan, kawasan taman atau kawasan parkir di ibu kota. Ini bukan cara pelupusan yang betul.

Kehadiran besi buruk ini selain mencacatkan pemandangan juga berbahaya kepada orang ramai. Mereka boleh terlanggar sehingga menyebabkan cedera. Selain itu jika ditinggalkan di kawasan parkir, akan mengurangkan petak parkir untuk orang ramai.

Biasanya sukar mengesan siapa yang meninggalkan kenderaan buruk ini di tempat tidak sepatutnya. Bagi yang terlibat, senang sahaja lepas tangan. Orang lain yang menanggung akibat.

Pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memang ada menjalankan operasi mengangkut kenderaan lama yang dibiarkan ini untuk dilupus. Memang tidak wajar perkara ini diletakkan di bahu DBKL.

Oleh itu Adi syorkan kepada pihak berkuasa cuba menjejaki pemilik kenderaan, terutama bagi kenderaan yang masih ada nombor pendaftaran. Kenakan penalti kerana meninggalkan kenderaan buruk di tempat awam. Selain itu kenakan bayaran kos pelupusan.

Dalam usaha menangani isu kenderaan lama ini, wujud gesaan agar diperkenalkan tempoh hayat kenderaan untuk tujuan pelupusan apabila sampai waktu. Hanya kenderaan yang benar-benar sihat dibenar berada di jalan raya bagi mengekang pelepasan karbon berlebihan.

Idea ini nampak rasional. Namun keadaan pada masa ini dianggap belum sesuai, apatah lagi jika dilaksana secara mengejut. Ia boleh menyebabkan rasa tidak senang hati dalam kalangan rakyat dan menjejaskan perbelanjaan mereka.

Seperti yang Adi sebut, ramai membeli kenderaan sekali sepanjang hidup. Mungkin sewaktu membeli mereka bekerja. Jika hendak membeli kenderaan baharu, mungkin sudah bersara. Tentu sahaja mereka tidak mahu menanggung beban pinjaman baharu.

Tambahan lagi sudah bersara bukan mudah dapat pinjaman. Kerana itu mereka lebih setia dengan kenderaan lama selagi boleh digunakan. Atau wang yang ada boleh digunakan untuk perbelanjaan lain.

Ada juga berpandangan jika kereta lama dibiar digunakan boleh menjejas industri otomobil negara kerana ramai tidak membeli kenderaan baharu. Bagi Adi, boleh diterima teori ini. Tetapi peratusnya kecil sahaja kerana ramai pembeli baharu akan muncul.

Ini terbukti di mana pendaftaran kenderaan baharu baik di Wilayah Persekutuan khususnya mencatat peningkatan saban minggu, bulan dan tahun. Ini menyebabkan kenderaan di ibu kota menjadi semakin banyak, seterusnya menyebabkan kesesakan lalu lintas makin serius. Ditambah dengan kenderaan otai, jumlahnya kian banyak.

Kerana itu pada hemat Adi, lambat-laun undang-undang akhir hayat kereta perlu diwujud dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pelepasan karbon. Ini sejajar dengan hasrat negara bergerak ke arah menjadi negara maju.

Soalnya bila masa sesuai untuk menguatkuasa undang-undang ini? Untuk tempoh terdekat ini nampaknya masih sukar menjadi kenyataan berdasar faktor sosio-ekonomi yang belum mengizinkan.

Namun secara perlahan-lahan ia boleh diperkenal secara berperingkat agar tidak terlalu memberi kejutan. Misalnya bermula dengan melupus kenderaan melebihi 20 tahun dan seterusnya. Yang penting perlu ada langkah permulaan.

Adi — Minat lagu ‘Basikal Tua’.

WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas