Artikel

Fenomena ‘home theatre’ sudah berlalu

- Diterbit 2 November 2023 10:45 PM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

LEBIH 20 tahun dahulu fenomena ‘home theatre’ atau panggung di rumah melanda negara ini. Bukan sahaja dalam dalam kalangan masyarakat elit atau dari gelembung mewah, malah kepada yang lebih rendah. Ketika itu belum ada pengkelasan seperti B40, tetapi yang setara dengan golongan itu pun terikut dengan fenomena panggung di rumah.

Kuala Lumpur adalah ibu kota yang menjadi pencetus gaya hidup. Kemudian gaya hidup itu merebak hingga ke seluruh negara sekalipun dunia maya tidak begitu menguasai seperti hari ini. Seolah-olah kalau bertamu ke rumah orang, perkara pertama yang hendak dilihat adalah panggung di rumahnya.

Banyak juga yang bertanya saya jenama ‘home theatre’ yang digunakan dan saya menjawab, “Tidak ada. Saya tidak mampu memiliki home theatre. Bilik pun tidak cukup untuk anak-anak.”

Panggung di rumah memerlukan bilik yang khusus dan dilengkapi penyerap bunyi seperti di studio rakaman. Sekalipun begitu banyak juga yang mengorbankan keselesaan keluarga dengan mengambil satu bilik untuk dijadikan panggung wayang. Bilik itu tidak sesuai digunakan untuk tujuan lain. Malah kekuatan tenaga bunyi daripada pembesar suara membuatkan gegaran pada bilik yang bersebelahan.

Itulah cara berhibur yang paling terkini pada tahun-tahun terakhir abad ke-20. Panggung di rumah menjadi satu tanda status dan kedudukan dalam masyarakat kerana memiliki peralatan hiburan terkini. Biarpun menelan belanja yang besar, kerana hiburan ada orang sanggup mengikat perut dan mengambil ruang keselesaan keluarga.

Ada yang menganggap fenomena panggung di rumah akan menjejaskan sambutan terhadap pawagam. Bagaimanapun saya tidak percaya fenomena sedemikian bertahan lama – ia berubah apabila teknologi yang lain pula mengambil tempat.

Itulah kitaran teknologi yang singgah seketika kemudian hilang apabila muncul teknologi lain yang lebih hebat. Misalnya 50 tahun lalu piring hitam menjadi alat hiburan yang tercanggih pada zamannya. Bagaimanapun piring hitam dianggap telah ketinggalan zaman apabila pita katrij diperkenalkan.

Sama seperti piring hitam, katrij juga akhirnya ditinggalkan apabila teknologi menampilkan penemuan baharu, pita kaset. Tentunya yang menjadi perbandingan antara kedua-duanya ialah keselesaan dan mutu teknologinya.

Kemudian pita kaset atau pita video sudah ketinggalan apabila teknologi membawa cakera padat (CD) dan cakera video digital (DVD). Maka tidak hairanlah kalau ketika itu banyak yang sanggup memperuntukkan banyak wang untuk membawa teknologi audio dan visual itu ke rumah.

Teknologi telah mengubah gaya dan selera masyarakat menikmati hiburan. Perubahan yang memberi keutamaan kepada hal-hal yang berkaitan dengan hiburan pula mempunyai kaitan kestabilan ekonomi. Bagaimanapun banyak juga yang terperangkap dalam ketidakcukupan belanja sanggup membawa panggung ke rumahnya.

Tentulah ketika gelembung ekonomi mengembang sebelum kemelesetan terbesar pada 1997 dan 1998, banyak yang memperuntukkan belanja untuk hal-hal yang bercorak hiburan. Warga Kuala Lumpur agak ketara dirasuk oleh gaya hidup berseronok antaranya membawa panggung ke rumah.

Revolusi gaya berhibur di rumah diterajui oleh dua penemuan teknologi; high definition TV (HDTV) dan pembesar suara yang mempunyai sistem bunyi sekeliling atau surround sound system yang memberikan bunyi tiga dimensi. Maka audio dan visualnya menjadi sangat realistik seolah-olah kita berada dalam filem yang ditonton.

Pengagum panggung di rumah bukan peminat filem. Mereka hanya meminati filem yang ada ciri-ciri audio dan visual yang berteknologi tinggi. Banyak filem yang bermutu tidak termasuk dalam senarai yang diminati kerana tidak ada bunyi dan visual yang luar biasa.

Bayangkan harga peralatan sistem audio visual yang ditawarkan sekitar RM4,000 adalah sangat besar pada zamannya. Akan tetapi banyak yang sanggup membeli kerana ketajaman bunyi yang luar biasa, kata mereka. Bunyi letupan dalam filem Volcano atau deruan kapal angkasa dalam Star Wars lebih menggegarkan dengan teknologi pembesar suara surround sound system.

Ini dibantu dengan teknologi yang menghasilkan DVD yang mempunyai keupayaan tujuh kali lebih baik daripada CD biasa. Ini sebenarnya bukan hanya selera hiburan kelas atasan tetapi menjadi milik semua orang termasuk mereka yang sebenarnya tidak mampu.

Bagi yang lebih berkemampuan, mereka menyediakan bilik khas yang dekorasinya sama seperti sebuah cinepleks. Ini adalah antara cabaran berada dalam dunia teknologi dan selera ditentukan oleh populariti. Malah tidak menganjak laras pemikiran ke tahap lebih tinggi kerana terpesona dengan hal-hal yang menjurus hiburan semata-mata.

Kata sesetengah peminat filem aksi, kesan thriller dalam filem Independence Day yang popular ketika itu hilang apabila menonton video di rumah. Sebab itulah panggung di rumah itu seperti membawa panggung masuk ke rumah. Filem hanya diukur sejauh mana kecanggihan bunyi dan gambarnya.

Perubahan dalam teknologi ini terlalu drastik. Ia semacam sentiasa menampilkan yang terkini sekali gus menjanjikan ciri yang mempesonakan. Kilang filem di Hollywood pula berlumba-lumba menghasilkan filem-filem yang memenuhi tuntutan teknologi audio dan visual.

Kempen `Inflasi Sifar’ ketika itu nampaknya hanya meneruskan tradisi kita yang paling banyak berkempen. Seolah-olah semua masalah terlerai dengan kempen yang menelan belanja besar tetapi tidak memberikan hasil. Misalnya panggung di rumah menjadi satu keperluan sekalipun ia tidak perlu.

Demikianlah satu gaya hidup dan teknologi pada satu zaman yang lampau. Sebenarnya tidak banyak memberikan kebaikan kecuali merangsang konsumerisme dan berlumba-lumba supaya kelihatan berada di atas garis yang sama dengan orang lain. Jangan terperangkap dengan teknologi yang mempesona, tetapi kurang faedah dan mengambil masa kita untuk menikmati kehidupan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas